56 ADUN Johor Angkat Sumpah Jawatan Hari Ini

ISKANDAR PUTERI, 21 April – Sebanyak 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Majlis angkat sumpah di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu dilantik Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi didahului oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN-Machap) diikuti dengan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

Terdahulu, Onn Hafiz mengemukakan nama Mohd Puad, 64, sebagai Speaker DUN Johor sebelum disokong Datuk Zahari Sarip (BN-Buloh Kasap) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri.

Majlis angkat sumpah diteruskan dengan bekas Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad (BN-Benut); diikuti bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Samsolbari Jamali (BN-Semarang); bekas Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar R. Vidyananthan (BN-Kahang) sebelum disusuli ADUN lain.

Sejurus selepas mengangkat sumpah selesai, Samsolbari, 60, yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor, dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Johor selepas nama beliau dicadang Onn Hafiz dan disokong Zahari.

Samsolbari menjadi ADUN Semarang buat penggal kelima selepas memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac lepas dengan 5,846 undi majoriti mengalahkan calon Perikatan Nasional (PN) Shazani A Hamid, calon PKR Haryati Abu Nasir dan calon Pejuang Adzlan Raju.

Pada PRN Johor, Barisan Nasional (BN) meraih mandat besar selepas memenangi 40 kerusi daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan dengan UMNO merangkul kejayaan di 33 kawasan, MCA empat manakala MIC tiga.

Pakatan Harapan (PH) memenangi 11 kerusi, PN (tiga) manakala PKR dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) masing-masing satu kerusi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.