PASleak: Ada Konspirasi Antara Pemimpin Politik, Peguam Negara Dan Ketua Hakim? – Shahrir

KUALA LUMPUR, 20 April – Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad mempersoal kandungan penyebaran dokumen yang didakwa sebagai ‘strategi PAS’.

Katanya, ini kerana terdapat satu perenggan di salah sebuah muka surat tersebut menyebut bahawa terdapat konspirasi di antara pemimpin politik serta badan undang-undang dan kehakiman negara.

“Kalau betul apa yang terdedah itu adalah pendapat ‘TSMY’, maka ianya membayangkan sudah berlakunya satu konspirasi dan pakatan haram antara pemimpin politik dengan peguam negara (AG) dan hakim negara (CJ).

“Jika betul, sudah berlaku kerosakan sistem kehakiman negara. Pendedahan laporan risikan politik PAS ini sudah lama berlaku. ‘TSMY’ ada dipetik inginkan perbicaraan disegerakan. AG, seperti biasa, diam seperti… (gunakan apa sahaja perkataan yang sesuai tapi jangan tuliskannya).

“CJ? Dulupun dah buat laporan polis tapi umum tidak mengetahui hasil siasatan samada sahih atau tidak serta tindakan terhadap mereka yang mengaku ‘bisa diatur’ keputusan hakim.

“Kehakiman? Sudah biasa buat laporan polis pun,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Shahrir malah turut memaklumkan bahawa menunggu respon daripada pihak yang berkaitan untuk menyangkal isi kandungan dalam dokumen tersebut.

“Saya? Tunggu je kalau ada penafian dan laporan polis terhadap pendedahan laporan risikan ini.

“Sekurang-kurangnya, Perdana Menteri boleh tanya AG betul ke pendapat ‘TSMY’ tu. Betul ke sudah ada ‘kolusi’ diantara pemimpin politik dengan AG dan CJ?

“Tak susah sebenarnya kalau nak cari kebenaran dalam hal ni,” soal beliau.

Terdahulu tular di media sosial helaian dokumen yang dipercayai sebagai ‘langkah politik PAS’.

Respon Shahrir tersebut adalah khusus berkenaan petikan daripada kandungan dokumen seperti berikut:

Menurut TSMY dalam urusan mahkamah Zahid dan Najib, AG dan CJ setuju membantu percepatkan kes dan jatuh hukum.” – Conclusion No. 6, Laporan Political Engagement PAS Pusat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.