Trend Guru Bersara Awal Perlu Intervensi Kerajaan – Mohamad

KUALA LUMPUR, 19 April – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menekankan bahawa trend guru bersara awal perlu intervensi Kerajaan.

Beliau berkata demikian susulan laporan Persatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dalam kenyataannya pada 18 April 2022 menganggarkan lebih daripada 10,000 guru telah membuat pilihan persaraan awal pada setiap tahun sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sehubungan itu kata Mohamad, intervensi Kerajaan dalam perkara ini adalah sangat penting kerana  persaraan awal guru-guru berpengalaman adalah kerugian yang sangat besar kepada negara.

“Sekiranya berlanjutan, negara bakal menghadapi krisis pendidikan yang lebih kritikal.  Ia akan memberi kesan kepada kualiti dan kebolehsaingan sistem pendidikan kita.

“Aspirasi untuk menjadikan sekolah dan mutu pendidikan Malaysia setaraf dengan mutu antarabangsa akan pasti terjejas.

“Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Pendidikan wajar memanggil wakil KPM untuk menjelaskan perkara ini agar melalui ketelusan, suatu penyelesaian jangka waktu panjang dapat dirumuskan,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit menerusi laman facebooknya.

Ujar Mohamad, guru adalah katalis sangat penting dalam memajukan bangsa dan negara kerana mereka mempunyai pengaruh luar biasa dalam mencorakkan keperibadian dan pemikiran generasi pelapis.

“Justeru kebajikan mereka adalah keutamaan yang tiada kompromi. Dan jika begitu ramai guru-guru mengakhiri karier mereka pada saat mereka masih produktif dan boleh menyumbang dengan berkesan, pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.”

Menurut NUTP, angka ini jauh melebihi angka Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dikeluarkan pada 9 November 2021, bahawa sebanyak 4,360 permohonan persaraan pilihan dibuat oleh guru bermula Januari 2021.

Kata Mohamad, jika anggaran yang dibuat oleh NUTP itu benar, maka ‘trend’ bersara awal mahupun berhenti dan meninggalkan perkhidmatan dalam kalangan guru ini adalah sangat membimbangkan.

“KPM wajar tampil menjelaskan angka sebenar dan menjelaskan dengan terperinci kegusaran NUTP itu.

“Pelbagai cabaran yang dihadapi oleh guru di musim pandemik adalah sangat di fahami. Ia sangat menguji ketahanan emosi dan psikologi mereka. Apatah lagi bila dibebankan dengan kerja-kerja perkeranian yang akhirnya menganggu tugas hakiki,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.