Prihatin Rakyat, UMNO PJ Tawar Jualan Gempak Raya 50% Diskaun

KUALA LUMPUR, 18 April – Kehadiran bulan keberkatan Ramadan menjadi platform terbaik untuk pemimpin UMNO meneruskan politik khidmat bakti termasuk mendekati rakyat di samping memberikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Meneruskan inisiatif tersebut, UMNO melalui bahagian Petaling Jaya pada Sabtu ini akan menganjurkan jualan murah barangan keperluan asas iaitu Program Jualan Gempak Raya Diskaun 50 Peratus yang akan berlangsung di Tapak Pasar Pagi PJS 2D Taman Medan.

Ketua Bahagiannya, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim mengajak penduduk di bawah Parlimen Petaling Jaya untuk hadir ke jualan mega ini untuk mendapatkan sembilan barangan tersebut iaitu beras, minyak masak, telur, gula, tepung, santan, mini ketupat/kuah kacang, kordial F&N dan ayam.

“Kesemua sembilan barangan ini nilai harga asal adalah RM101.54 tapi pada Program Jualan Gempak Raya Diskaun 50 Peratus anda semua hanya perlu membayar sebanyak RM50.77 sahaja.

“Justeru, saya mengajak semua pengundi Parlimen Petaling Jaya untuk hadir pada 23 April di Tapak Pasar Pagi PJS 2D Taman Medan bermula jam 8.00 pagi,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi BN Petaling Jaya juga berharap menerusi jualan murah ini dapat meringankan beban kepada penduduk setempat bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri.

“Ayuh ramai-ramai kita datang memeriahkan jualan mega raya ini nanti.

“Semoga dengan sedikit usaha ini dapatlah meringankan bebanan kita seisi keluarga menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.