Beca Melaka Guna E-Dompet Touch ‘N Go

MELAKA, 18 April – Kerajaan negeri Melaka hari ini memperkenalkan penggunaan e-dompet menerusi aplikasi Touch ‘n Go untuk perkhidmatan beca di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata inisiatif Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) itu selaras dengan peredaran teknologi semasa, selain mesra pengguna dan sebagai satu langkah mengekang penularan COVID-19.

“Setakat hari ini, hampir 80 peratus pengayuh beca di Melaka telah menerima (kaedah) bayaran melalui aplikasi e-dompet Touch ‘n Go dan dianggarkan keseluruhan pengayuh beca berdaftar iaitu sebanyak 305 orang akan menggunakan kaedah ini dalam masa terdekat.

“Beca Melaka merupakan beca yang pertama di negara ini menggunakan aplikasi e-dompet dan saya ucapkan tahniah kepada pengayuh beca yang telah pun beralih kepada pengunaan aplikasi Touch ‘n Go,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikan selepas Majlis Bacaan Yasin dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada Pengayuh Beca Melaka di Bandar Hilir di sini hari ini.

Sulaiman berkata kesemua pengayuh beca berdaftar di negeri ini menerima wang tunai RM200 seorang serta barangan makanan sumbangan kerajaan negeri dalam usaha menjaga kebajikan golongan berkenaan.

Beliau berkata sumbangan itu juga diharap sedikit sebanyak dapat meringan beban golongan tersebut dalam membuat persiapan hari raya kerana mereka turut terjejas akibat pandemik.

Sementara itu, pengayuh beca Amran Hashim, 50, berkata penggunaan e-dompet memberi nilai tambah kepada industri berkenaan selain menjadikan pengayuh beca golongan celik teknologi.

Beliau yang telah 10 tahun mengayuh beca berkata kaedah itu memberi kelebihan dan pilihan kepada pengguna kerana kebanyakan pelancong domestik dan tempatan kini lebih gemar menggunakan pembayaran tanpa tunai.

“Kita berharap lepas ini lebih ramai pelancong dapat menggunakan kaedah e-dompet kerana ia memudahkan urusan pembayaran. Lebih cepat dan selamat kerana kita masih berada dalam situasi penularan COVID-19,” katanya.

Pengayuh beca Mohd Izwan Taib, 31, berkata penggunaan e-dompet lebih terjamin kerana pendapatan yang diperoleh terus masuk ke dalam akaun bank justeru mengelak daripada berbelanja boros atau duit tercicir.

“Apabila pelanggan bayar dengan e-dompet, kita tidak lagi pegang duit tunai macam sebelum ini. Jadi apabila duit tidak ada di tangan perbelanjaan tu akan dapat dikawal,” katanya yang telah melakukan pekerjaan itu selama lebih enam tahun.

Beliau berkata kaedah itu juga membantu pengayuh beca sepertinya untuk menyimpan sebahagian pendapatan yang diraih dan pada masa sama membantu kumpulan itu mempunyai aliran keluar masuk duit yang lebih sistematik.

Pengayuh beca Mohd Safwan Aziz, 29, pula berkata mereka kini tidak perlu ‘pening’ untuk menyediakan duit kecil.

“Bayaran menaiki beca adalah RM25 dan RM50 bagi satu trip perjalanan mengikut jarak yang ditetapkan. Jadi sebelum ini kita memang kena sediakan duit kecil untuk pulangkan baki pelanggan,” katanya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.