Ismail Sabri ‘Poster Boy’: UMNO Sungai Petani Ucap Terima Kasih MKT, Bukti BN/UMNO Tiada Perpecahan

KUALA LUMPUR, 17 April – UMNO Bahagian Sungai Petani merakamkan ucapan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di atas keputusan menamakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketuanya, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff melalui satu kenyataan berkata keputusan tersebut memberi petanda BN/UMNO bakal turun sebagai satu pasukan sekali gus membuktikan tidak ada perpecahan dalam parti seperti yang digembar-gemburkan.

“Terima kasih Presiden, Timbalan Presiden dan MKT. UMNO Bahagian Sungai Petani menyambut baik keputusan MKT UMNO yang memutuskan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’ sekaligus calon Perdana Menteri bagi BN.

“Ia turut memberikan satu isyarat jelas bahawa UMNO akan turun sebagai ‘satu pasukan’ dalam Pilihan Raya Umum akan datang bagi memastikan kestabilan politik di negara ini dapat dikekalkan,” katanya sebentar tadi

Shahanim turut menambah keputusan itu juga menandakan UMNO meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan dalam mewujudkan kestabilan politik di negara ini.

“Ia secara tidak langsung membawa maksud, UMNO sebagai parti keramat Islam dan Melayu ini sentiasa meletakkan kepentingan negara dan kebajikan rakyat sebagai satu keutamaan.

“Ini kerana, hanya dengan kestabilan politik kebajikan dan kesejahteraan rakyat dapat terus diperkasakan serta agenda pembangunan negara dapat diteruskan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.