Rakyat Dah Merasa Perit Dalam Kerajaan PH, Hanya UMNO/BN Mampu Stabilkan Negara – Sufian Hindi

SANDAKAN, 16 April – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Semporna, Muhammad Sufian Hindi berkata semenjak mandat kerajaan beralih daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu rakyat semakin bijak menilai setelah melalui pengalaman yang cukup berguna apabila diperintah mereka.

Katanya, rakyat tidak mendapat apa-apa manfaat ketika PH memerintah malah semakin hari merasa terhimpit namun sebaliknya berbeza apabila pemimpin UMNO kembali mengepalai negara dan kini menuju ke arah fasa menstabilkan negara.

“Cukup- cukuplah kepedihan yang rakyat rasai semenjak negara diperintah oleh PH dulu. Kita harus menginsafi bahawa bukannya takbur tapi pengalaman UMNO/BN mentadbir dan mengurus negara dengan cukup lama… dan itu adalah satu bukti kukuh kenapa BN harus dikembalikan sebagai pengemudi yang layak.

“Kita tahu banyak pemimpin UMNO yang kesetiaannya tidak berbelah bagi dan sehingga hari ini boleh dilihat UMNO kembali menerajui negara walaupun tidak sepenuhnya tapi kembali ke puncak pimpinan.

“Pemimpin-pemimpin UMNO telah melalui satu reformasi setelah kekalahan pada PRU lalu demi mempertahankan parti dan mereka mempunyai integriti serta maruah yang begitu tinggi,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Sehubungan itu beliau menyeru anggota parti terus perkuatkan dan perkasakan UMNO kerana untung nasib rakyat akan terus terbela melalui parti ini.

“Ini bukan perkara main-main kerana UMNO/BN memikirkan untung nasib rakyat dan ini bukannya perkara yang boleh dijadikan ‘ujikaji’ sebaliknya telah terbukti dalam realiti sebuah kehidupan.

“Saya mohon agar rakyat memilih UMNO/BN dengan wadah dan wajah yang baharu… dengan era yang baharu, kepimpinan yang baharu. Insya-Allah… UMNO/BN mampu terus menawarkan kestabilan dan kemakmuran untuk negara,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.