Saya Mahu Keadilan, Tujuan Sumbangan Saya Baik, Tetapi Saya Diaibkan, Dizalimi – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 15 April – Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Yayasan Akalbudi (YAB) telah menyumbang lebih RM109 juta untuk kerja-kerja kebajikan, sekali gus menafikan dakwaan pendakwaan tiada satu sen dana yayasan itu digunakan untuk membantu orang miskin.

Ahmad Zahid, 69, berkata sumbangan RM109 juta itu merupakan sebahagian sahaja kerana ada lagi kerja kebajikan yang tidak disenaraikan kerana beliau memegang prinsip ‘tangan kanan memberi, tangan kiri tidak perlu mengetahui’.

“Di hari Jumaat ini, saya tidak mahu menyanggah sebarang pernyataan mana-mana pihak, namun apabila senarai D5 dan D6 (senarai kerja kebajikan) dikemukakan pada Yang Arif, saya beri pengakuan bahawa penyataan tiada satu sen diberi Yayasan Akalbudi untuk menolong orang miskin adalah tidak benar,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika disoal peguamnya Datuk Ahmad Zaidi Zainal semasa membela diri atas 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Pada 18 Nov 2019, pihak pendakwaan dalam kenyataan pembukaannya menyatakan akan membuktikan Ahmad Zahid telah menyeleweng RM31 juta dana Yayasan Akalbudi dan tiada satu sen pun daripada wang tersebut telah digunakan untuk manfaat golongan miskin.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata beliau mahu keadilan diberikan kepadanya kerana tindakannya itu adalah untuk kebaikan.

“Wang (Yayasan Akalbudi) daripada sumber saya sendiri, pendapatan saya sendiri, elaun saya sendiri, perniagaan saya sendiri. Saya masukkan (dana) dengan tujuan hati yang baik dengan yayasan yang saya buat sendiri. Adakah ini merupakan sesuatu yang harus dikenakan (tindakan) diaibkan, dimalukan dan dizalimi kepada saya?” tegasnya.

Ahmad Zahid bagaimanapun mengakui terdapat kesilapan teknikal disebabkan kelemahan beberapa pihak terutamanya setiausaha syarikat YAB.

“Ada kelemahan teknikal tapi daripada segi tujuan dan amalan yang saya lakukan, ia hanyalah untuk kebaikan kerana Allah SWT semata-mata,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, beliau telah melantik Idris Kechek dan Mahinder Kaur sebagai setiausaha syarikat bagi Yayasan Akalbudi.

Katanya, Idris yang memegang jawatan itu selama 10 tahun sejak 1997, tidak pernah mengemas kini dan menghantar laporan akaun (yayasan) kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Hanya pada 2012 selepas lembaga pemegang amanah berubah, saya mengetahui bahawa Idris Kechek tidak pernah menghantar apa-­apa dokumen ke SSM atau menyediakan akaun bagi Yayasan Akalbudi tersebut.

“Pada 2012, Mahinder Kaur telah dilantik menjadi setiausaha syarikat bagi YAB untuk menggantikan Idris Kechek. Namun, di mahkamah ini juga barulah saya mengetahui bahawa beliau ada menyediakan dokumen pertukaran pemegang amanah, dokumen perakaunan dan lain-­lain, tetapi tidak menghantarnya ke SSM,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Samsuri Tun, Zulkifli Senteri, Muhammad Nabil Saleh dan Datuk Khairuddin Tarmizi pernah dilantik sebagai pemegang amanah YAB.

Kepada soalan Ahmad Zaidi sama ada empat pemegang amanah YAB itu pernah menyumbang kepada dana yayasan itu, Ahmad Zahid menjawab 100 peratus dana yayasan itu adalah wangnya sendiri.

“Sumbangan saya sendiri kepada yayasan dan tiada satu sen pun yang saya peroleh daripada mana-mana pemegang amanah yang telah saya lantik untuk menjadi pemegang amanah kepada yayasan berkenaan,” katanya.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Pada 24 Jan lepas, mahkamah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap kesemua pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 23 Mei ini. – BERNAMA