Namakan Calon PM Tutup Telahan Wujud Kem Tertentu Dalam UMNO – Pemuda Perak

KUALA LUMPUR, 15 April – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak menyambut baik hasil keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia yang sebulat suara bersetuju menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri Malaysia daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Kata ketuanya, Mohd Ariff Abdul Majid, ini secara tidak langsung menidakkan sebarang gambaran dan telahan sebelum ini yang menyatakan wujud kem tertentu di kalangan kepimpinan tertinggi UMNO.

“Setinggi penghargaan dan rasa hormat harus ditujukan kepada YB Presiden Parti yang
sentiasa menjukkan kematangan dan sifat berjiwa besar beliau yang sentiasa meletakkan kepentingan parti melebihi daripada kepentingan peribadi.

“Sudah tentu apa yang belaku pada saat dan ketika ini akan sentiasa menjadi satu lipatan sejarah yang akan terus dikenang dan dibanggakan generasi UMNO masa hadapan.

“Semua akar umbi tidak dapat tidak, harus bersetuju bahawa YB Presiden telah mejalankan tanggungjawab dan amanah yang baik dengan membawa bahtera ini walaupun berdepan pelbagai onak dan duri semenjak kekalahan UMNO pada PRU 14 yang lalu,” katanya dalam kenyataan media berkaitan hal terbabit.

Beliau memaklumkan bahawa Pergerakan Pemuda Negeri Perak yakin keputusan yang dibuat MKT ini adalah bagi memastikan kesepaduan di dalam parti akan terus kekal utuh, UMNO telah terbukti kental meredah perubahan zaman walaupun begitu banyak ujian getir yang telah dilalui UMNO sejak penubuhannya, semuanya telah dapat ditempuhi dengan jayanya.

“Ayuh kita rapatkan barisan serta memperkasakan jentera parti dalam menghadapi kemungkinan PRU15 pada bila-bila masa sahaja.

“Pemuda UMNO Perak akan terus konsisten menyokong dan memberikan kepercayaan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Parti dalam meneruskan perjuangan memartabatkan Agama, Bangsa dan Tanah Air,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.