RUU Anti Lompat Parti: Jawatankuasa Pilihan Khas Diharap Berjalan Lancar – Ahmad Maslan


KUALA LUMPUR, 13 April – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap Rang Undang-Undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti melibatkan pindaan Perlembagaan yang akan melalui Jawatankuasa Pilihan Khas akan berjalan lancar.

Katanya ini kerana, pindaan Perkara 10 Perlembagaan yang hendak dilakukan itu tidak melibatkan perubahan ketara.

“Keputusan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang diberikan masa sebulan saya kira selepas ini tidak perlu ada lagi gangguan-gangguan berlaku… harap segalanya akan berjalan terus.

“Bukan banyak sangat perkara pun yang hendak dipinda dalam Perlembagaan itu, ada beberapa perkara… saya kira dalam masa kurang sebulan sudah selesai dan kita tidak perlu menunggu sesi Julai.

“Mungkin boleh panggil satu lagi sidang khas atas persetujuan Perdana Menteri untuk kita meluluskan RUU Anti Lompat Parti melalui pindaan Perlembagaan,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

RUU itu antara lain berkaitan pindaan kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan punca kuasa bagi membolehkan suatu akta khusus berhubung larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, digubal dan diluluskan di Parlimen.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menambah, beliau juga sebelum ini secara langsung turut sama terlibat dalam mewakili parti menganggotai jawatankuasa teknikal RUU ini.

“Difahamkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Udang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bahawa lapan bulan beliau menumpukan mengenai RUU Anti Lompat Parti.

“Banyak pertemuan dengan senarai yang cukup panjang termasuk saya sendiri secara peribadi dan mewakili parti dua kali dalam jawatankuasa teknikal.

“Saya lebih menyokong pindaan Perlembagaan supaya mana-mana pihak selepas ini jika ingin menukar mereka tidak perlu hanya mendapatkan majoriti mudah tetapi menjadi lebih sukar supaya pindaan itu kekal dengan mendapatkan dua pertiga,” ujar beliau.

Terdahulu Dewan Rakyat pada Isnin meluluskan usul pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas untuk membuat syor berhubung pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Jawatankuasa itu dianggotai 11 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ahli Parlimen kerajaan yang menganggotai jawatankuasa itu ialah Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas), Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Bersatu-Larut), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) dan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti).

Wakil pembangkang pula melibatkan Gobind Singh Deo (PH-Puchong), Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang), Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) dan Datuk Ignatius Dorell Leiking (Warisan-Penampang). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.