Jaga Kebersihan Alam Sekitar… Ini Rumah Kita – Zahid

KUALA LUMPUR, 13 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak rakyat Malaysia untuk sama-sama lebih bertanggungjawab dengan keadaan sekitar terutama melibatkan kebersihan di tempat awam.

Katanya, ini kerana gambar yang dimuatnaik oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaparkan sampah dibiarkan bergelimpangan adalah suatu yang patut dikesali.

“Marilah kita terus menjaga kebersihan alam sekitar negara kita kerana inilah rumah kita. Kita buktikan pada dunia bahawa rakyat Malaysia adalah masyarakat yang mengutamakan kebersihan.

“Ini gambar di Taman Tasik Titiwangsa yang dimuat naik oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Sampah sarap bertaburan di laluan ‘jogging’ yang dikatakan ditinggalkan oleh pengunjung.

“Ini bukan apa yang mahu kita lihat sejurus negara memasuki tempoh peralihan ke fasa endemik… kebenaran untuk beriadah tidak sepatutnya dicemari dengan tingkah laku negatif seperti itu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, meskipun perbuatan tersebut dilakukan hanya segelintir daripada rakyat namun ianya sedikit sebanyak menjejaskan orang lain.

“Saya percaya hanya segelintir kecil bersikap demikian, tetapi dibimbangi akibat nila setitik rosak susu sebelanga.

“Paling tidak pun masyarakatnya prihatin tentang petugas kebersihan yang perlu membersihkan sampah setiap hari.

“Kita mengurangkan beban orang lain Insya-Allah Tuhan akan mengurangkan bebanan hidup kita… sesungguhnya Islam itu sendiri mengajar dan mementingkan kepada kesucian dan kebersihan.

Luah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, situasi ini sangat membimbangkan sekiranya dibiarkan apatah lagi ahli akademik sebelum ini meramalkan bahawa 14 juta tan sampah setahun akan dikutip menjelang 2022.

“Ramalan itu juga ekoran trend pungutan sampah setiap hari yang merekodkan peningkatan sejak 2012. Pastinya akan membebankan lagi pengurusan sisa pepejal negara yang sudah sedia ada terbeban.

“Jika sistem pengurusan sisa pepejal berdepan masalah, tentunya akibat buruknya kita jua akan hadapi,” tegas beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.