Kerja-Kerja Awalan Enakmen Anti Lompat Parti Boleh Dimulakan Secepat Mungkin – Hasni

KUALA LUMPUR, 12 April – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berpandangan Enakmen Anti Lompat parti yang merupakan salah satu dalam Ikhtiar Barisan Nasional (BN) Johor boleh dimulakan dengan kerja-kerja awalan dibuat daripada sekarang.

Jelas beliau menerusi hantaran di Facebook, berdasarkan perkembangan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di parlimen, pelbagai perkara perlu diperhalusi di peringkat Johor.

“Memperkenalkan Enakmen Anti Lompat Parti merupakan salah satu inisiatif di bawah Ikhtiar Barisan Nasional Johor, maka kerja-kerja awalan termasuklah kajian dan libat urus pemegang taruh harus dimulakan secepat mungkin.

“Melihat perkembangan pembentangan RUU Anti Lompat Parti di peringkat Kerajaan Persekutuan, banyak perkara yang perlu diperhalusi dan dilihat di Johor.  ‘It should be our first order of business’,” katanya.

Semalam, seramai 65 Ahli Parlimen membahaskan Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dalam Mesyuarat Khas di Dewan Rakyat.

Perkara itu dimaklumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar membentangkan pindaan RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua.

Perbahasan itu dimulakan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, diikuti pembahas utama di pihak kerajaan, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi catatan di Facebooknya berkata, pembentangan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 di Dewan Rakyat bagi membolehkan Akta Anti Lompat Parti digubal adalah satu manifestasi ke arah politik yang lebih sihat dan berpaksikan kepentingan rakyat.

Justeru beliau  menzahirkan rasa puas hati dengan penyatuan Ahli-Ahli Parlimen pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat semalam.

“Malaysia ke arah kestabilan politik yang lebih matang, kuat dan berkeyakinan,” kata Ismail Sabri dalam catatan di Facebooknya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.