Kepimpinan UMNO Terus Khidmat Bakti Prihatin Rakyat

KUALA LUMPUR, 12 April – Politik khidmat bakti diteruskan oleh kepimpinan UMNO apatah lagi dengan kehadiran bulan Ramadan untuk mendekati rakyat di samping memberikan sumbangan seperti kelaziman.

Di Pahang, Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin menerusi hantaran di Facebooknya meluangkan masa bersama penduduk di kawasan beliau untuk menikmati jamuan berbuka puasa bersama.

Beliau juga sebelum itu mengambil kesempatan berkunjung ke rumah salah seorang penduduk di kawasan sama bagi memberikan bantuan untuk meringankan beban pasca menjalani pembedahan baru-baru ini.

“Saya berbuka puasa bersama penduduk Masjid Kampung Baru Jara. Sebelum itu, saya singgah ke rumah Mohamad Ekram Abdul Razak yang telah menjalani pembedahan tulang belakang beberapa bulan lalu

“… kemudiannya saya menyampaikan cek sejumlah RM2,000 kepada beliau bagi kegunaan rawatan susulan penyakit. Terima kasih kepada semua yang dapat meluangkan masa berbuka puasa bersama,” katanya menerusi hantaran yang sama.

Menjengah ke selatan tanah air, Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Mohammad Khairi A. Malik turut prihatin dengan menyampaikan bantuan kepada warga emas bagi meringankan beban keluarga menghadapi bulan Ramadan ini.

“Berkesempatan menyampaikan bantuan dari Yayasan Penyayang Iskandar Puteri sebuah katil dan pampers kepada Jamiah Siman yang berusia 97 tahun… semoga beliau mendapat keselesaan meneruskan kehidupan di hari mendatang.

“Juga berkesempatan menyampaikan sumbangan yayasan kepada Surau Mutiara Iman bagi menaja beberapa program yang diatur untuk masyarakat setempat di sepanjang bulan Ramadan al-mubarak ini.

“Sumbangan disampaikan menerusi pengerusi surau, Khairul adalah menjadi matlamat yayasan untuk membantu dalam pembangunan insaniah komuniti yang tinggal di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Iskandar Puteri,” katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim turut mengambil kesempatan meluangkan masa dalam Program Agihan Bubur Cha Cha dan Bubur Lambuk.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Puteri UMNO Bahagian atas komitmen menganjurkan program ini di samping melakukan agihan kepada penduduk setempat.

“Destinasi terakhir di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Medan bersama-sama dalam Program Agihan Bubur Cha Cha dan Bubur Lambuk anjuran Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya.

“Mereka bersama gotong-royong sejak pagi tadi bagi memasak bubur cha cha untuk diagihkan kepada orang ramai pada petang ini. Tahniah kepada Puteri Bahagian atas inisiatif di bulan ramadan ini.

“Saya turut mengambil kesempatan mengagihkan dan mempromosi Susu Segar Farm Fresh (Gerai depan SK Taman Medan) bagi membantu anak muda yang berniaga mencari rezeki di bulan puasa ini,” ujar beliau menerusi hantaran di Facebook. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.