Tangani Isu Kemalangan Jalan Raya Babitkan Motosikal Dengan Sikap Pengguna – Zahid

KUALA LUMPUR, 11 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan bahawa aspek paling penting dalam menangani isu kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal adalah berhubung sikap pengguna jalan raya.

Ujarnya, tentang usaha memperkasa kesedaran terhadap kepentingan mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan ketika menunggang motosikal adalah dengan menanam elemen prihatin dan saling mengambil berat dalam kalangan pengguna jalan raya bagi mengatasi tingkah laku pentingkan diri.

“Begitu juga dengan aspek penguatkuasaan peraturan jalan raya dan peranan keluarga bagi membendung remaja daripada terlibat dalam aktiviti lumba haram.

“Kita tidak mahu sebarang dasar apabila dilaksanakan kurang berkesan akhirnya mengundang kiasan kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar,” katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menerusi kenyataan dalam laman facebooknya berkaitan hal terbabit.

Ujarnya, sebagai salah seorang peminat aktiviti permotoran maka beliau mengikuti rapat isu berkenaan cadangan mengharamkan ‘kapcai’ berprestasi tinggi yang sedang hangat diperkatakan.

“Tanpa sedikit pun berhasrat memperkecilkan cadangan tersebut oleh mana-mana pihak, saya malah percaya beberapa perkara wajarlah diperhalusi terlebih dahulu.

“Pertama, motosikal walau apa prestasi jika ditunggang dengan cermat, berhemah serta mematuhi peraturan jalan raya kebarangkalian selamat adalah tinggi. Kecuali berlaku faktor-faktor luar jangka seperti disebabkan oleh kecuaian pemandu kenderaan lain, kerosakan pada motosikal atau permukaan jalan tidak selamat.

“Sebab itu penunggang digesa memastikan motosikal sentiasa dalam keadaan baik dan sentiasa berhati-hati di jalan raya bagi mengelak risiko tidak diingini.”

Kedua katanya, pasaran motosikal di Malaysia dilaporkan antara yang tertinggi di Asean, malah antara yang tertinggi di dunia sebelum pandemik melanda maka langkah pengharaman ke atas ‘kapcai’ dikhuatiri akan mengganggu industri tersebut yang baru saja mahu ‘bernafas’ semula.

“Kesan buruknya pasti akan dihadapi oleh ramai mereka yang terlibat dalam industri berkenaan daripada pengedar, penjual sehingga kepada pekerja.

“Malah sektor berkaitan termasuk perniagaan alat ganti dan bengkel membaiki motosikal akan turut terkesan.”

Ketiga, jelasnya, dianggarkan 11 juta penduduk Malaysia menggunakan ‘kapcai’ untuk kegiatan harian termasuk ke tempat kerja atau urusan-urusan lain.

“Antara faktor termasuk belum mampu memiliki kereta atau membeli lebih daripada sebuah kereta, maka sama ada suami atau isteri perlu menggunakan motosikal.

“Selain itu terdapat juga faktor mahu menjimatkan kos pengangkutan, mengelak terperangkap kesesakan lalu lintas dan kesukaran mendapat parkir.”

Begitu juga katanya dengan pelajar institusi pengajian tinggi kerana tidak semua ibu bapa mampu membelikan kereta buat anak-anak mereka untuk ke kuliah atau kelas.

“Keempat, kita pernah mendengar tentang kapcai’ walaupun speed-cut (batasan halaju) 110 km/j masih boleh diubah suai untuk ditambah kelajuan.

“Kerana itu juga kita pernah dengar tentang ‘kapcai’ boleh mencecah kelajuan sehingga 180 km/j untuk tujuan lumba haram.

“Ini bermaksud walaupun ‘kapcai’ berprestasi tinggi diharamkan, masalah sebenar iaitu kelajuan yang tidak selamat akan terus berlaku,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.