RUU Anti Lompat Parti Perlu Untuk Jamin Tiada Lagi Isu Lompat Parti

PADANG TERAP, 10 April – Isu lompat parti dalam kalangan wakil rakyat yang menang kerusi pilihan raya akan dapat diatasi dengan pengenalan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid bagaimanapun berkata, sebelum akta terbabit dikuatkuasakan, Pindaan Perlembagaan perlu dilakukan terlebih dahulu.

“Kalau ikut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bermakna kita bentang pindaan Perlembagaan dahulu kemudian kalau Parlimen bersidang pada Julai, Insya-Allah kita boleh bentang RUU Antilompat Parti pada Julai.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Iftar dan Solat Tarawih bersama Warga FELCRA Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak di sini semalam.

Jelas Mahdzir, Pindaan Perlembagaan yang bakal dibentang Isnin ini merupakan pindaan yang membolehkan Akta Antilompat Parti dibentangkan.

Pembentangan dan pembahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 itu membabitkan penggubalan punca kuasa di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Ia bagi membolehkan Rang Undang-Undang berhubung larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, digubal di Parlimen. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.