Pekerja Asing: Mentaliti Telur dan Ayam Mesti Berakhir – Zahid

KUALA LUMPUR, 10 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kesal dengan cadangan untuk menyegerakan pengambilan warga asing dalam industri automobil negara yang ketika ini berhadapan kekangan tenaga kerja.

Tegas beliau, tindakan serta pemikiran sebegini bukan sangat simplistik, kurang bertanggungjawab malah alasan yang dilontarkan juga adalah tidak berasas sama sekali.

“Saya harap kita segera berhenti untuk melihat pengambilan pekerja asing sebagai alternatif. Ini adalah jalan mudah dan short-cut yang tidak sewajarnya menjadi amalan industri di negara kita.

“Alasan bahawa pengambilan pekerja asing yang ramai tidak akan menutup peluang bakat tempatan adalah tidak logik sama sekali. Malah, rungutan bahawa pekerja tempatan akan selalunya berhenti selepas enam hingga 12 bulan sepatutnya menjadi satu titik tolak penelitian yang lebih mendalam.

“Katanya ‘kerana bakat tempatan tidak berminat, maka terpaksalah kami beralih kepada pekerja asing’ adalah satu pemikiran ‘telur dan ayam’ yang mesti berakhir. Adalah kritikal untuk kita memperhalusi perkara ini dengan jujur dan terbuka. Mengapa fenomena ini berlaku? Adakah insentif yang diberikan setimpal? Wujud atau tidak tawaran yang munasabah dan menarik daripada pihak industri?” soal beliau menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, kesemua perkara tersebut mesti dilihat, disemak dengan serius termasuk tawaran yang diberikan kepada bakat tempatan.

“Jika tawaran adalah sama sahaja dengan insentif kepada pekerja asing, sudah pastilah bakat tempatan tidak melihat wujud sebarang kelebihan pada dirinya selaku anak watan di negara ini. Dan sudah pastilah akan wujud sentimen yang menyebabkan pekerja tempatan berasa seperti pekerja asing di bumi sendiri.

“Semua ini adalah perkara yang sering dilihat remeh oleh majikan dan pihak industri, sedangkan ia perkara pokok dan besar. Saya ingin menggesa pihak industri automobil dan automotif negara kita untuk melihat perkara ini dengan cara yang lebih serius dan menyeluruh.

“Pengambilan bakat tempatan sewajarnya adalah satu national service yang mesti dijayakan menjangkaui perkiraan untung rugi. Ia mesti menjadi satu tanggungjawab moral pihak industri dan majikan. Ia mesti menjadi satu bentuk sumbangan langsung yang besar selain cukai dan peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” luah beliau.

Kata Ahmad Zahid lagi, pengambilan bakat tempatan mesti berlaku dengan cara yang membolehkan anak-anak muda melihat wujud masa depan yang lebih baik kepada mereka.

Ujar beliau, mentaliti sekadar ‘asal ada gaji dan pekerjaan’ adalah sangat toksik kerana yang dituntut bukan gaji tinggi sebaliknya munasabah bersesuai dengan kos sara hidup di negara ini.

“Semoga industri automotif dan automobil negara dan industri lain perlu cuba mencari penyelesaian yang lebih secocok dengan keperluan tempatan sambil berusaha mengubah pemikiran toksik dan simplistik yang merugikan ini.

“Berbincanglah dengan pihak kesatuan sekerja tempatan, pihak universiti dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mencapai keputusan lebih baik dalam membuat keputusan berkenaan isu seumpama ini.

“Insya-Allah ada jalan untuk menangani isu dan pemanfaatan tenaga tempatan perlulah jadi keutamaan,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.