K-KOMM Peruntuk RM4 Bilion Untuk Pemasangan Gentian Optik Di 4,000 Sekolah

KOTA BHARU, 10 April – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) memperuntukkan RM4 bilion untuk pemasangan hab rangkaian gentian optik titik kehadiran atau Point of Presence (PoP), membabitkan hampir 4,000 sekolah di seluruh negara.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata ia membabitkan pemasangan di zon utara, zon tengah, zon selatan, zon timur dan juga di Sabah dan Sarawak, yang bakal mewujudkan perkhidmatan capaian rangkaian internet lebih stabil dan berkelajuan lebih tinggi.

“Kita menyasarkan pemasangan gentian optik 500 hingga 600 sekolah di setiap zon yang telah dikenal pasti,” katanya kepada pemberita selepas hadir mengagihkan Bubur Lambuk Kampung Baru kepada 1,000 penerima di Bazar Ramadan Peringat di sini hari ini.

Beliau berkata pihak kementerian juga mengalu-alukan kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi meningkatkan mutu perkhidmatan rangkaian gentian optik, dan menurutnya memang menjadi teras Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk memberi kestabilan rangkaian internet kepada semua sekolah di luar bandar terutama di kawasan yang belum menerima perkhidmatan berkualiti.

Media sebelum ini melaporkan KPLB berharap dapat menjalin kerjasama dengan K-KOMM bagi meningkatkan digitalisasi dan capaian Internet di Tabika Kemas seluruh negara.

“Lazimnya di sekitar sekolah-sekolah itu juga tentunya ada tabika-tabika termasuk Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas). Saya mengalu-alukan kerjasama ini, KPLB boleh membekalkan kepada kami lokasi tabika Kemas untuk kami minta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) membuat penilaian,” kata Ahli Parlimen Ketereh itu.

Sementara itu merujuk kepada liputan jaringan capaian internet 4G di seluruh negara menerusi fasa satu Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), Annuar berkata setakat ini liputannya telah melebihi 95 peratus kawasan berpenduduk.

Katanya menjelang akhir tahun ini pihaknya menyasarkan liputan berkenaan akan mencapai kira-kira 97 peratus.

“Yang baki tiga peratus lagi mungkin kawasan pedalaman yang terlalu jauh, mungkin kita akan menggunakan kaedah satelit dan sebagainya. Menerusi projek menaik taraf ini kita menyasarkan liputan rangkaian internet mencapai 35 Megabits per saat (Mbps),” katanya. – BERNAMA