Jelajah Ihya’ Ramadan Diteruskan Ke Melaka, Imarahkan Kehadiran Bulan Keberkatan – Asyraf

KUALA LUMPUR, 10 April – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia meneruskan Jelajah Ihya’ Ramadan, kali ini di Melaka dengan kunjungan ke beberapa kawasan bagi mengimarahkan lagi kehadiran bulan keberkatan ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan lawatan ke negeri bersejarah ini bermula di Asahan, Merlimau, Duyong dan berakhir di Parlimen Hang Tuah Jaya.

“Semalam mengakhiri Jelajah Ihya’ Ramadan di Melaka dengan menghadiri majlis Tadadarrus Pemuda UMNO Kota Melaka di rumah Faizal di Seri Duyong yang merupakan ketua pemuda cawangan di sana.

“Kemudian bermoreh di Ley Park Station di bawah Hang Tuah Jaya bersama Ahli Jawatankuasa Pemuda-Pemuda UMNO Melaka.

“Walaupun memenatkan tapi seronok dapat bersama dan melihat kepimpinan Pemuda UMNO di semua peringkat di Negeri Melaka ini penuh bersemangat di bawah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemuda UMNO yang juga Ketua-Ketua Pemuda UMNO Bahagian yang diketuai Fairul Nizam Roslan Along. Dua antaranya juga memegang amanah sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka,” katanya menerusi laman faceboknya berkaitan program terbabit.

Terdahulu, menerusi hantaran berlainan Asyraf memaklumkan penyampaikan bantuan juga turut diberikan kepada Pusat Pemulihan dan Komuniti (PDK) Seri Murni serta melalui ziarah kasih penduduk tempatan yang keuzuran di sekitar Felda Bukit Senggeh, Nyalas yang turut disertai ADUN Asahan, Fairul Nizam Roslan Along.

“Di sebelah petang pula, Iftar Jamaei’ bersama penduduk tempatan di Dataran Merlimau bersama-sama Ahli Parlimen Jasin merangkap Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah serta ADUN Merlimau merangkap Exco Kesihatan dan Anti-Dadah Negeri Melaka, Dr Akmal Saleh.

“Pada malamnya pula, mengimamkan solat isya’ dan tarawih berjemaah bersama penduduk tempatan di Masjid Jamek Ar-Rahim, Merlimau.

“Kemudian bersama-sama dengan Pemuda UMNO Kota Melaka di Dun Duyong untuk bertadarrus Al-Quran. Semoga ukhuwah kita terus berkekalan dan segala amal kebaikan kita diredhai Allah di bulan penuh barakah ini,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.