Zahid Yakin Barisan Exco Dan MB Baharu Johor Mampu Galas Tanggungjawab

KUALA LUMPUR, 9 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin dan percaya barisan Exco Kerajaan Negeri Johor yang diterajui Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mampu menggalas tanggungjawab membangunkan negeri berkenaan.

Berkongsi kunjungan Datuk Onn Hafiz ke Yayasan Al-Falah semalam, Ahmad Zahid seterusnya menambah kunjungan tersebut amat bermakna apabila memberi peluang untuk masing-masing bertukar fikiran.

“Petang semalam saya telah menerima kunjungan Menteri Besar Johor yang baru Datuk Onn Hafiz Ghazi cicit pengasas dan Presiden UMNO Dato Onn Jaafar di Yayasan Al Falah Country Heights Kajang.

“Kunjungan sangat bermakna ini memberikan peluang kami bertukar fikiran dan melihat situasi terkini politik terutamanya Johor sebagai pemangkin kebangkitan ekonomi di negara kita,” katanya.

Katanya lagi, beliau juga mengharapkan MB Baru yang dilantik itu bekerja keras untuk menunaikan manifesto BN untuk kesejahteraan rakyat.

“Saya juga berpesan dan berharap YAB MB Johor agar terus bekerja lebih keras untuk menunaikan manifesto BN demi kesejahteraan rakyat yang sedang dalam proses memulihkan kedudukan kewangan mereka pasca pandemik ini.

“Insya-Allah saya juga akan turun ke Johor pada masa terdekat nanti sebaik sahaja pulang dari Tanah Suci Mekah.

“Saya yakin barisan Exco Kerajaan Negeri yang baharu mampu menggalas tanggungjawab untuk membangunkan Johor,” ujarnya.- UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.