Mesyuarat NSC Bincang Pelan Hala Tuju Teknologi Dan Produk Nano Negara 2021-2025 – PM
KUALA LUMPUR, 9 April – Majlis Sains Negara (NSC) yang bermesyuarat semalam membincangkan berkenaan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara 2021-2025, yang wajar diaplikasikan kepada pelbagai industri.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia adalah selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) seperti pertanian pintar, tenaga boleh baharu, industri halal dan teknologi perubatan.
“Pembangunan produk nanoteknologi seperti vaksin, ubat terapi kanser, peranti perubatan, teknologi sensor, baja nano, biojisim, panel solar serta pemanis dan perasa dalam produk halal, mempunyai permintaan tinggi di pasaran global yang akan melonjakkan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara itu juga akan memberi banyak faedah sosioekonomi kepada negara, termasuk mencipta 33,391 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.
Katanya peluang pekerjaan itu merangkumi pekerja berkemahiran tinggi sebanyak 5,968, separuh mahir (24,755) serta kurang mahir sebanyak 2,668 orang, dan industri berkenaan dijangka menyumbang RM151.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dalam tempoh lima tahun.