Zahida Lihat Penangguhan Pembentangan Akta Lompat Parti Mengecewakan
KUALA LUMPUR, 8 April – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan berpandangan berita penangguhan Akta Anti Lompat parti untuk dibawa ke Parlimen amat mengecewakan.
Menurut beliau timbul pelbagai persoalan apabila dikhabarkan di media, keputusan tersebut dibuat kerana kabinet tidak bersetuju ianya dibentangkan dalam masa terdekat.
“Satu berita yang amat mengecewakan. Dikhabarkan keputusan penangguhan dibuat kerana kabinet tidak setuju ia dibentangkan dalam masa terdekat.
“Persoalan yang bermain dalam fikiran rakyat. Siapakah menteri-menteri yang menolak RUU Anti Lompat Parti ini?” katanya menerusi catatan di Facebook.
Beliau seterusnya menimbulkan persoalan apakah perkara tersebut tidak serius untuk dibawa ke parlimen.
“Adakah kerajaan tidak serius dalam mewujudkan undang-undang ini?
“Rakyat sudah penat dengan kecelaruan politik akibat daripada tindakan ahli ahli parlimen lompat si katak lompat ini,” ujarnya.
“Selaras dengan ketetapan parti, RUU ini mesti disegerakan hingga lulus di dewan rakyat nanti,” ujarnya.
Memetik laporan, Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin depan ditangguhkan buat kali kedua.
Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Khamis susulan kabinet tidak bersetuju dengan pembentangan RUU Anti Lompat Parti itu. – UMNO Online