Jelajah Ihya Ramadan Pemuda UMNO Imarahkan Bulan Puasa, Santuni Penduduk Salur Bantuan

KUALA LUMPUR, 8 April – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggerakkan Jelajah Ihya Ramadan yang bermula di Tawau Sabah dengan hasrat mengimarahkan keberkatan bulan puasa di smping menyantuni para penduduk setempat yang dilanda musibah dan kesusahan.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan dalam program terbabit di Tawau, sumbangan telah diberikan kepada mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4 Jalan Ampas Tawau.

“Pergerakan Pemuda UMNO Tawau dan Kalabakan juga menyediakan bahan-bahan makanan untuk memasak bagi 600 orang mangsa sepanjang Ramadan ini. Moga Allah mengangkat kesusahan dan musibah yang melanda,” katanya menerusi laman faceboknya berkaitan program terbabit.

Di Parlimen Kalabakan pula, Pemuda UMNO bermula dengan iftar dan solat maghrib berjemaah bersama masyarakat setempat di Surau Taman King Fook.

“Pada sebelah malam, selepas solat Isyak, terawih dan moreh ada menyampaikan sumbangan kepala anak-anak Ma’ahad Tahfiz Ashabussayahid bertempat di kediaman Ketua Pemuda UMNO Kalabakan, Sdr. Aslan Fadli di Jalan Moorel.”

Kemudian, dari Kalabakan dan Tawau Sabah, Siri Jelajah Ihya Ramadhan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia diteruskan di Ampang.

“Program bermula dengan menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada penduduk-penduduk yang memerlukan dan ziarah kasih penduduk yang uzur di sekitar Flat Taman Kosas, Ampang.

“Kemudian, iftar bersama ahli kariah dan penduduk tempatan di Masjid Taman Kosas, solat maghrib berjemaah dan menyampaikan sumbangan Pemuda UMNO Ampang kepada pihak pengurusan masjid.”

Dalam masa yang sama, Dr Asyraf menzahirkan rakaman terima kasih kepada jentera-jentera Pemuda UMNO yang konsisten menyemarakkan agenda #PemudaBantuRakyat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.