UMNO Terjemah Kesepakatan Berkhidmat Untuk Rakyat, PRU15 Demi Pemulihan Negara – Zaidy

KUALA LUMPUR, 7 April – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berpandangan pasca-Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang berlangsung lancar pertengahan bulan lala membuktikan kesepakatan dalam kalangan ahli parti mengenai keperluan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan kini melaksanakan khidmat demi rakyat.

Katanya keadaan ini penting bagi memberikan semula mandat kepada rakyat untuk membentuk kerajaan stabil supaya mengembalikan semula ekonomi negara ke landasan yang sebenar.

“PAU 2021 mahukan UMNO kembali mendapatkan kuasa bukan melalui rundingan politik tetapi daripada mandat rakyat melalui PRU15.

“Hanya dengan kemenangan selesa barulah BN boleh membentuk kerajaan yang stabil yang mana Perdana Menteri boleh meneruskan agenda pemulihan dan pembangunan negara tanpa perlu diganggu gugat pihak-pihak tertentu.

“Ini turut dinyatakan dengan jelas oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyatakan dari segi falsafah ketenteraan you must strike when you enemy is weak, strike when the iron is hot,” katanya pada UMNO Online.

Bagaimanapun beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jempol berkata meskipun BN mencapai kejayaan manis menerusi beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini namun bukan suatu alasan untuk parti mendabik dada.

“Hasrat tersebut tidak harus dilihat sebagai tamak kuasa namun atas lensa keiltizaman BN memulihkan negara yang terjejas terus sejak PRU14 yang lepas.

“Kejayaan dua PRN sebelum ini bukanlah satu sebab untuk selesa. BN harus berkerja lebih kuat dengan pelbagai strategi dan gerak kerja tersusun bagi mendapatkan mandat rakyat,” ujar beliau.

Terdahulu, Mohd Zaidy yang merupakan salah seorang pembahas mewakili Negeri Sembilan pada Perhimpunan Agung sayap itu sebelum ini berkata UMNO tidak melihat faktor kuasa semata-mata biarpun mencapai kejayaan cemerlang pada PRN Melaka dan Johor.

Menurut beliau jika melihat kepada senario berkenaan, rakyat telah mula memberi kepercayaan kepada BN setelah menyesal dengan segala kepercayaan yang diberikan pada PRU14 yang lalu. – UMNO Online