Permohonan Injunksi Ahmad Zahid Supaya Muhyiddin Tarik Balik Kenyataan Didengar 27 April

KUALA LUMPUR, 6 April – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 27 April untuk pendengaran permohonan injunksi inter-parte (dua pihak) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin menarik balik kenyataan berhubung dakwaan bekas timbalan perdana menteri itu meminta bantuan untuk menyelesaikan atau menangguhkan perbicaraan kes jenayah yang masih berjalan di mahkamah.

Peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid selaku plaintif ketika dihubungi pemberita berkata Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff menetapkan tarikh tersebut pada prosiding secara dalam talian.

“Pada prosiding hari ini, saya memaklumkan kepada mahkamah mengenai perkembangan kes saman itu dan hakim telah membuat keputusan menukar pendengaran ex-parte (sebelah pihak) yang sepatutnya didengar hari ini kepada pendengaran inter-parte yang ditetapkan pada 27 April,” katanya.

Shahrul Fazli berkata tuntutan saman itu diserahkan kepada Muhyiddin hari ini.

Ahmad Zahid pada 4 April lepas, memfailkan saman fitnah terhadap bekas perdana menteri itu, memohon injunksi ex-parte supaya defendan (Muhyiddin) atau wakilnya menarik balik kenyataan-kenyataan fitnah tersebut atau kenyataan fitnah serupa.

Plaintif juga memohon perintah injunksi interim untuk menghalang defendan, pegawai dan pembantunya serta ejen dan wakilnya daripada mengeluarkan, menerbitkan, mengedarkan atau menyebarkan kenyataan fitnah berkenaan atau kenyataan fitnah serupa di mana-mana platfom media sosial termasuk Facebook, Instagram, Twitter dan WhatsApp.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Ahmad Zahid, 69, berkata pada 19 Okt 2018, beliau telah dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, atas 12 pertuduhan melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dan kesemua pertuduhan tersebut sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Ahmad Zahid mendakwa defendan telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan fitnah dengan niat jahat terhadapnya pada majlis Pentas Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Mersing sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di perkarangan Learning Centre Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 di Mersing pada 16 Feb lepas.

Beliau mendakwa pada hari yang sama, rakaman video mengenai kenyataan fitnah pada majlis tersebut telah diterbitkan semula secara langsung di akaun YouTube Astro AWANI yang dikendalikan oleh portal berita dalam talian popular iaitu Astro AWANI berdurasi dua jam 35 minit dan lapan saat (2:35:08) yang boleh diakses melalui internet.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau telah menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan, meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes berkenaan, mencampuri sistem kehakiman, mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor dan bukan seorang pemimpin yang patut dihormati, diteladani serta disegani.

Ahmad Zahid menegaskan kenyataan-kenyataan fitnah itu adalah palsu bertujuan untuk menjatuhkan reputasi dan nama baiknya selain mendakwa kenyataan fitnah tersebut dikeluarkan oleh defendan selepas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan PRN Johor.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, faedah, serta perintah mengarahkan defendan menerbitkan permohonan maaf yang tidak bersyarat secara bertulis di surat khabar yang akan ditentukan oleh plaintif selain menuntut kos dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA