Nilailah Sendiri Tindak-tanduk Politik Pengerusi PN/Bersatu, Agenda Peribadi Terdesak Mahu Jadi PM Semula

KUALA LUMPUR, 4 April – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpesan kepada mana-mana pihak dalam parti yang masih mahu bekerjasama, mempercayai dan mempertahankan parti Bersatu.

Ujarnya, mereka harus menilai sendiri segala tindak-tanduk politik dan tabiat Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang begitu terdesak mahu kembali jadi Perdana Menteri (PM).

“Mahukah kita terus bekerjasama dengan parti sedemikian?

“UMNO ini tidak sempurna. Tetapi kita tidaklah terdesak, menjual prinsip dan sanggup melakukan apa sahaja semata-mata mahu menebus malu dan menggenggam kuasa,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook dengan topik ‘Gelagat Politik Lawan’.

Ulas Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), perjumpaan Muhyiddin dengan Pengerusi Pejuang Tun Mahathir Mohamad membongkar niat sebenarnya.

“Presiden Bersatu dilaporkan mahu kembali menjadi PM dan mahu kerjasama dengan Parti Pejuang.

“Kita fikir mereka berdiri atas ideologi. Rupa-rupanya semua demi kepentingan peribadi,” bidasnya.

Manakala tambah Ahmad Zahid lagi, bekas PM kelapan itu juga dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini walaupun tidak ada butiran lanjut.

Begitu juga rujuknya menngenai kenyataan Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mengaku dihubungi oleh Muhyiddin dipercayai berkaitan dengan bentuk kerjasama yang boleh dilakukan dalam pilihan raya umum (PRU) pada masa akan datang.

“Namun Shafei Apdal dilaporkan sudah memberikan kata putus menolak permintaan tersebut selepas pengkhianatannya dalam PH (Pakatan Harapan).” – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.