Formula Tak Ditunai, Tiba-tiba Lenyap PH Tipu Manifesto… Azhari Yakin Rakyat Kenal Siapa Rafizi

KUALA LUMPUR, 4 April – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam Datuk Azhari Shaari membidas bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dengan menegaskan bahawa orang Melayu tidak akan sokong Pakatan Harapan (PH) sama ada PPBM di dalam PH atau tidak.

Terdahulu dilaporkan Rafizi berkata bahawa PH tidak perlu membawa masuk sebuah parti mewakili orang Melayu/Islam seperti PPBM bagi menarik sokongan pengundi dari kaum Bumiputera/Melayu untuk memenangi PRU15.

Ujar Azhari, kini rakyat Malaysia sudah kenal siapa Rafizi sebenarnya dan semua fakta-fakta yang diberi beliau rupanya mengarut dan tidak betul.

“Wahai Rafizi, anda sudah lupa? Orang Melayu dan juga rakyat Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah menyesal dengan memberi undi kepada PH kerana semua formula dari Rafizi tidak ditunaikan, malah Rafizi juga tiba-tiba lenyapkan diri ketika PH menipu manifesto mereka.

“Bukan sahaja orang Melayu yang menyesal. Orang Cina, India, Kadazan, Bidayuh, Orang Asli dan semua bangsa menyesal. Akibatnya, PRK dan PRN yang terkini kesemuanya PH kalah,” katanya menerusi hantaran terbaharu dalam laman facebooknya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.