Penjawat Awam Negeri Diseru Sertai Koperasi – Sulaiman

ALOR GAJAH, 2 April – Kerajaan negeri kini dalam rangka perbincangan untuk memperkenalkan kaedah yang lebih efisien agar lebih ramai penjawat awam di Melaka berdaftar sebagai ahli Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka Berhad.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata kerajaan negeri sangat mengalu-alukan penjawat awam negeri Melaka menyertainya walaupun ia tidak diwajibkan.

“Perancangan untuk menggalakkan lebih ramai penjawat awam negeri menjadi ahli memang ada dan sudah dibincangkan memandangkan setakat ini hanya 4,500 orang sahaja menyertainya berbanding 30,000 kakitangan keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Premis Perniagaan Ar Rahnu Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka di Taman Bandar Baru, Masjid Tanah di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia Zazali Haron dan Pengerusi Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka Marsitah Othman.

Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka ditubuhkan pada 1926 itu mempunyai 12 anggota lembaga koperasi yang menjalankan kredit kepada anggotanya, sewaan bangunan, projek hartanah, pelaburan dan perkhidmatan dobi layan diri.

Katanya penjawat awam di negeri ini yang belum berdaftar sebagai ahli perlu mengambil peluang dan manfaat yang ditawarkan koperasi tersebut memandangkan Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka ini merupakan antara 100 koperasi terbaik daripada 14,500 koperasi yang berdaftar di negara ini.

“Antara kelebihan adalah skim khairat kematian kepada ahli yang meninggal dunia, dengan memperoleh faedah sebanyak RM18,000 termasuk setiap hutang dilangsaikan. Dan mereka adalah satu-satunya koperasi yang menawarkan manfaat seperti ini,” katanya.

Terdahulu pembukaan premis pajak gadai Islam Ar Rahnu di Masjid Tanah adalah yang kelima dimiliki dan diusahakan oleh Gerakan Koperasi di Melaka, hasil bimbingan Koperasi Malaysia bersama Koperasi Orang Melayu Kerajaan Perak Berhad.

Menurut Marsitah dengan pembukaan kedai pajak patuh syariah itu, mereka menjangkakan mendapat peningkatan perolehan koperasi, seterusnya memberi pulangan berbentuk dividen kepada lebih 4,500 anggota yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan negeri Melaka. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.