Kisah Rakyat Malaysia Warnai Pembukaan Semula Tambak Johor

JOHOR BAHRU, 1 April – Pelbagai cerita rakyat Malaysia yang baru pulang dari Singapura mewarnai dan menghidupkan semula Tambak Johor yang ‘sepi’ sejak dua tahun lamanya apabila sempadan negara ditutup pada 18 Mac 2020.

Solidariti terpancar dalam kalangan warga tempatan apabila ada yang menyanyikan lagu Negaraku ketika berjalan kaki merentasi Tambak Johor dan ada bersorak kegembiraan menyambut kepulangan mereka sebaik sahaja detik 12 tengah malam.

Bagi R.Suresh, seorang bapa tunggal berusia 49 tahun, pertemuan semula dengan empat orang anaknya adalah detik paling dinantikannya selama ini.

Drama ‘jejak kasih’ bersama anak bongsunya John Damscene Rau, 20, di sebuah stesen minyak berdekatan laluan keluar Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Bukit Chagar, mencuri perhatian orang ramai yang turut berkumpul di situ.

“Saya sangat gembira. Saya sudah kembali ke pangkuan keluarga. Saya menghargai usaha kerajaan – polis, kastam, kerana menjalankan tugas dengan sangat baik (malam ini). Mereka membantu dan melayan kami dengan baik sekali,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di stesen minyak, dekat sini, selepas tiba di kastam Malaysia dari republik itu dengan berjalan kaki.

Menurut Suresh yang bekerja sebagai pegawai sumber manusia berkata kehidupan selama dua tahun dengan kos sara hidup amat tinggi menyebabkan dia tidak sabar untuk pulang dan bercadang untuk meluangkan masa bersama keluarga untuk makan bersama dan mengunjungi tempat yang sudah lama tidak dilawati.

Sementara itu, Fajrul Rizal Abu Bakar yang sudah dua tahun tidak pulang sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020, mahu mendakap ibu dan bapa, serta merasa air tangan ibunya yang sangat dirindui.

Pemuda berusia 28 tahun itu antara kumpulan pertama yang terkandas di Singapura apabila PKP dilaksanakan.

Dia yang juga berjalan kaki dari Singapura, sempat membuat Facebook Live bagi memberi gambaran jelas kepada rakyat Malaysia ke Singapura yang didakwanya masih teragak-agak untuk pulang kerana bimbang mengenai prosedur operasi standard (SOP).

“… kerajaan dah buat yang terbaik untuk kita semua, untuk balik. Alhamdulillah, hari ini kami semua balik dan proses untuk balik sama macam dulu. Kalau orang cakap jangan dengar, dah lalui semua proses…lancar,” katanya yang berasal dari Pasir Gudang.

Warga Singapura Rosnah Din, 62, tidak dapat menahan sebak setelah akhirnya berpeluang berjumpa ahli keluarganya di Bukit Pasir, Muar selepas kali terakhir bertemu dengan ahli keluarnya pada Aidilfitri 2019.

“Sebelum ini ada kematian ahli keluarga di Singapura, yang di Malaysia tidak dapat datang, kemudian ada yang sakit di Malaysia, di Singapura tidak dapat nak ziarah. Apabila dapat peluang macam ini, kita tidak mahu lepaskan peluang baik. Alhamdulillah, kedua-dua pintu masuk lancar,” katanya yang telah kehilangan tiga ahli keluarga sepanjang dua tahun ini.

Rindu dengan suasana di Johor yang disifatkan tidak dapat dirasai di Singapura, dia bercadang untuk menyambut awal Ramadan bersama ahli keluarganya di sini.

“Suasanalah…sebab kita selalu (ke sini) kebanyakan adik-beradik saya separuh di sini… daripada sini.. mak saya pun daripada sini, Muar. Jadi, apabila kita dapat bertemu, macam dapat melepaskan rindulah,” katanya yang turut ditemani abang dan anak perempuannya.

Pada 25 Mac lepas, Malaysia dan Singapura menerusi kenyataan bersama mengumumkan bersetuju untuk membuka sepenuhnya sempadan darat bagi pengembara telah lengkap vaksinasi mulai hari ini, selaras dengan Fasa Peralihan ke Endemik.

Selain itu, juga membenarkan pengembara telah lengkap vaksinasi, untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19, termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.