Cukup-cukuplah Berpolitik Rugikan Rakyat… Negara Perlu Bergerak Ke Depan – Dr Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 1 April – Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menimbulkan persoalan apakah gara-gara kuasa dan kedudukan menyebabkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dahulunya telah berjaya mencapai kedudukan sebagai Pedana Menteri kelapan mula menyimpan hasrat untuk menjadi Pedana Menteri kesepuluh.

Menerusi catatan di Facebooknya beliau berkata sebelum ini Muhyiddin telah meninggalkan rakan sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH) untuk menjadi Perdana Menteri kelapan dan hari ini timbul pula dakwaan berkaitan hasrat beliau yang dikatakan untuk menjadi perdana menteri seterusnya.

“Meninggalkan PH dan menjadi PM ke-8. Sekarang mahu bersama kembali hanya kerana mahu menjadi PM ke-10. Semuanya kerana kuasa dan kedudukan. Rakyat dan negara jadi taruhan, kerana itu cukuplah. Malaysia mahu bergerak kehadapan. Kita mahu membina semula Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu menerusi hantaran terbarunya, Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong seterusnya menambah apakah mahu melihat negara ini kembali kepada zaman 22 bulan PH memerintah.

“Cukuplah… seandainya Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin kembali bersama. Apakah ini bermakna Pas menjadi parti yang sanggup lakukan apa sahaja demi kuasa dan kedudukan? Apakah kita lupa apa yang Pas kata pada PH di bawah pimpinan Tun?

“Persoalan lain siapa yang akan menjadi PM ke-10? Tun atau Tan Sri Muhyiddin? Dan dikhabarkan PKR juga sedang dirunding. Apakah Anwar akan terus menjadi ‘PM menunggu’? Apakah PN, Pejuang atau parti dalam PH akan kembali bergabung?” katanya.

Kata beliau lagi, sekiranya itu berlaku negara akan kembali ke era yang lalu dan sewajarnya negara perlu bergerak ke hadapan dan bukannya kembali kepada zaman silam.

“Kiranya ini berlaku… maka kembali malaplah Malaysia. Situasi ini jelas merugikan negara dan rakyat. Kepada rakyat Malaysia yang dikasihi. Kita mahu kestabilan. Parti yang memimpin mestilah parti yang ada keupayaan membina dan membangunkan semula Malaysia.

“Cukuplah berpuluh tahun Malaysia dipenuhi cerita dan berita mengenai Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin, Tuan Guru Haji Hadi, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Lim Guan Eng… kita mesti bergerak kehadapan. Kita tinggalkan mereka. Kita mahu Kestabilan Masa Depan agar Malaysia kembali kehadapan,” ujarnya.

Hari ini, memetik laporan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan mendakwa Muhyiddin Yassin meminta sokongannya dalam usaha untuk menjadi perdana menteri sekali lagi.

Bercakap dalam sidang media hari ini, Mahathir berkata dia tidak tahu mengapa Muhyiddin meminta sokongannya.

“Dia nak saya sokong dia dalam usaha untuk jadi perdana menteri sekali lagi,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengesahkan laporan bahawa Muhyiddin ada bertemunya baru-baru ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.