Zahid Gesa Wujudkan Pasukan Khas Teliti Isu Keperluan Asas Pelajar, Mahasiswa

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar diwujudkan pasukan khas bagi meneliti isu keperluan asas pelajar dan mahasiswa.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian merujuk kepada isu komentar oleh seorang pensyarah UiTM terhadap pelajarnya yang tidak mempunyai komputer untuk belajar dan menarik perhatian semua pihak.

“Perkara ini mesti dilihat dalam konteks yang menjangkaui komen seorang pensyarah kepada pelajarnya. Ia menunjukkan betapa masih ramai di luar sana yang tidak mempunyai kelengkapan asas untuk mengikut pembelajaran. Apatah lagi kuliah yang dilakukan dalam talian.

“Kerajaan dan pemimpin tempatan mesti melihat perkara ini dengan serius. Kita memerlukan satu intervensi yang berkesan dan menyeluruh agar isu seperti ini dapat ditangani secara holistik.

“Pendidikan adalah keperluan dan hak asas. Tidak ada anggota masyarakat dan anak-anak kita yang harus bergelut untuk mendapatkannya. Ia mencerminkan kita semua sebagai sebuah masyarakat. Tidak semua mempunyai latar belakang hidup yang sama,” katanya menerusi laman facebooknya berkaitan isu terbabit.

Atas dasar ini, beliau menggesa pihak kerajaan untuk melihat isu ini secara menyeluruh.

“Bukan secara ‘in silo’ atau terpencil dan memfokuskan kepada kes di UiTM ini sahaja. Saya yakin masih ramai di luar sana yang sedang menghadapi isu yang sama. Saya sarankan agar satu pasukan khas ditubuhkan untuk meneliti isu sebegini dengan mendalam dan segera. Satu dasar atau pendekatan baharu sangat diperlukan untuk kita berhadapan dengan semua ini.”

Ini kerana katanya, pandemik yang melanda sejak dua tahun lalu telah banyak membongkar kelemahan sistam masyarakat kita khususnya dalam dunia pendidikan.

“Saya harap akan ada tindakan menyeluruh yang diambil dengan bersungguh-sungguh.

“Ingatlah generasi pelajar adalah masa depan kita dan negara. Penting untuk kita memastikan mereka dapat berkembang dan menjadi terdidik dengan cara yang selayaknya,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.