TCA Dijangka Jadi Kuartet Dengan Penyertaan Brunei – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) Malaysia, Indonesia dan Filipina akan dihidupkan semula sebagai Perjanjian Kerjasama Kuartet empat negara, yang turut melibatkan negara Brunei, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata penyertaan Brunei telah dibincangkan oleh beliau dan rakan sejawatnya dari Brunei Pehin Awang Halbi Mohd Yussof semasa mesyuarat dua hala, yang diadakan di luar pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Persidangan Keselamatan Negara Asia (Natsec) 2022, di sini.

“Bagaimanapun ini bergantung kepada perkenan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah,” katanya pada sidang media selepas menutup acara dwitahunan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di

Katanya mesyuarat dua hala itu turut menyaksikan kedua-dua menteri pertahanan bersetuju untuk terus meneroka kerjasama pertahanan terutama dalam latihan bersama membanteras keganasan serta latihan pasukan tindakan khas.

Mesyuarat TCA peringkat Menteri Isnin lepas bersetuju untuk meluaskan TCA yang dibangunkan bagi menangani ancaman keselamatan maritim di Laut Sulawesi dan Sulu, melangkaui bidang pertahanan semasanya, dengan menggabungkan pendekatan pelbagai agensi secara berkesan.

Sementara itu Hishammuddin berkata beliau sedar bahawa rakan sejawatnya dari Indonesia dan Singapura Prabowo Subianto dan Dr Ng Eng Hen telah bersetuju untuk berbincang dengan Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha yang juga Menteri Pertahanan Thailand, bagi mewujudkan satu lagi Perjanjian Kerjasama Kuartet antara empat negara bagi menjaga keselamatan Selat Melaka.

Beliau berkata kuartet itu akan memastikan keselamatan Selat Melaka dalam struktur baharu, dan menambah bahawa penubuhan pasukan Peronda Selat Melakan (MSP) antara empat negara, masih sedang dalam perbincangan.

Menyantuh mesyuarat dua hala dengan Indonesia, Hishammuddin berkata kedua-dua negara bersetuju untuk menyambung mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am Malaysia-Indonesia MALINDO pada bulan Julai ini bagi membincangkan perkembangan berhubung pos sempadan bersama.

Hishammuddin berkata semua mesyuarat dua hala secara bersemuka dengan menteri pertahanan lima negara di luar DSA dan Natsec, membolehkan mereka bekerjasama dan berbincang isu-isu konstruktif, terutama dalam bidang pertahanan untuk bergerak ke hadapan.

Malaysia secara rasminya melabuhkan tirai acara empat hari DSA dan Natsec 2022 hari ini dan dijangka menganjurkan acara berikutnya pada 6 hingga 9 Mei 2024. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.