Tanah Lapangan Terbang Antarabangsa Di Seri Iskandar Dijual Semasa Zaman PH – Saarani

PARIT, 31 Mac – Tanah yang dicadangkan untuk dibangunkan sebagai lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar di sini, telah dijual kepada sebuah syarikat swasta semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN), tanah tersebut dirizabkan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak bagi tujuan pembinaan lapangan terbang berkenaan.

“Jadi, tanah itu telah dijual semasa zaman PH, mereka (kerajaan PH) masa itu sudah jual jadi kita tidak ada tanah untuk bina lapangan terbang baharu.

“Tanah itu tidak boleh diambil semula, memandangkan syarikat swasta berkenaan sudah pun mendapat kebenaran merancang untuk melaksanakan pembangunan bercampur di kawasan itu (tapak lapangan terbang),” katanya.

Saarani bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat Bantuan Persekolahan dan Orang Kurang Upaya Kelompok Padang Ragut Daerah Perak Tengah dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saarani berkata kerajaan negeri perlu mencari tapak baharu yang lebih sesuai, bagi pembinaan lapangan terbang antarabangsa seperti yang dicadangkan.

Beliau berkata pihaknya masih tidak dapat mengenal pasti lokasi baharu lapangan terbang antarabangsa itu, sama ada ia kekal di Seri Iskandar atau dipindahkan ke lokasi lain, kerana perlu mendapat pandangan daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Pada Selasa, Ahli Dewan Undangan Negeri Aulong Nga Kor Ming semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Perak mendakwa, cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar telah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Nga berkata, perbuatan itu dilakukan oleh individu tidak yang tidak bertanggungjawab, dan perkara itu merupakan salah laku yang cukup serius dan mahu pihak yang bertanggungjawab menjual tanah tersebut diheret ke muka pengadilan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.