DSA: Kementah Tandatangani 51 Dokumen Dengan Nilai RM4.6 Billion – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Kementerian Pertahanan (Kementah) menandatangani 51 dokumen dengan nilai RM4.6 bilion dan tiga Memorandum Persefahaman (MoU) sepanjang pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2022 yang berlangsung selama empat hari.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata majlis menandatangani dokumen itu melibatkan dokumen kontrak, memorandum persefahaman (MoU), penyerahan surat penerimaan (LOA) dan surat hasrat (LOI).

“Sejumlah 20 LOA bernilai RM1.14 bilion, 24 kontrak (RM3.32 bilion), tujuh LOI (RM152.79 juta) dan tiga MoU ditandatangani,” beliau berkata dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini semalam.

Pada masa sama, Hishammuddin juga memberitahu mengenai pemerolehan aset baharu Angkatan Tentera Malaysia yang sedang berjalan.

“Untuk Tentera Darat Malaysia, aset berkenaan ialah kereta perisai anggota (APC) untuk kegunaan Batalion Malaysia (MALBATT) 850 di Lubnan, meriam katak 155mm boleh bergerak sendiri, jambatan sokongan logistik untuk Rejimen Askar Jurutera Diraja , trak kargo GS tiga tan untuk pergerakan dan logistik serta senjata anti kereta kebal dan anti struktur ringan untuk pasukan khas,” katanya.

Bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM pula, beliau berkata aset baharu untuknya ialah tiga helikopter utiliti AW139 buatan Itali.

“Kelompok kedua tiga Kapal Misi Pesisir (LMS) yang akan dilengkapi dengan sistem persenjataan lebih canggih bagi melengkapi empat LMS sedia ada juga dirancang pada tahun hadapan tertakluk kepada kelulusan Unit Perancang Ekonomi (EPU). Sebagai tambahan, 13 lagi bot pemintas pantas (FIC) juga dalam proses pemerolehan,” katanya.

Hishammuddin berkata pemerolehan untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang kini sedang berjalan ialah 36 pesawat dwifungsi tempur ringan dan latihan lanjutan (FLIT-LCA) menerusi dua fasa dengan 18 pesawat bagi setiap fasa.

“Ini akan menggantikan MIG-29N/UB yang tidak lagi beroperasi pada 2017, pesawat HAWK yang akan mencapai usia perkhidmatan 32 tahun pada 2026 dan Aermacchi (MB-339CM) yang akan mencecah usia perkhidmatan 22 tahun menjelang 2030,” katanya.

Menteri Pertahanan itu juga berkata ada perancangan untuk memperoleh tiga radar pertahanan udara jarak jauh (LORAD), radar pertahanan udara jarak sederhana (MERAD), pesawat tanpa pemandu (UAS), “Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial Surveillance” (MALE-UAS) dan Pesawat Peronda Maritim (MPA).

Di bawah Inisiatif Keselamatan Maritim (MSI), tiga pesawat CN235-220M kini sedang dalam proses dinaik taraf bagi memenuhi peranan sebagai pesawat pemantau maritim (MSA) yang berkemampuan melakukan tugas-tugas risikan, pemantauan dan peninjauan (ISR).

Hishammuddin berkata:” Ada rancangan untuk memperoleh 24 helikopter baharu bagi menggantikan helikopter Nuri yang akan ditamatkan perkhidmatannya mulai 2026 dengan 12 helikopter akan diperoleh pada Fasa 1 (Rancangan Malaysia Ke-13 dari 2026-2030) dan 12 lagi dalam Fasa 2 (Rancangan Malaysia Ke-14 dari 2031-2035).

Beliau berkata biarpun berhadapan kesan kelembapan ekonomi berikutan pandemik COVID-19 dan terikat dengan peruntukan yang diberikan kepada Kementah dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pihak kementerian dan tentera kedua-duanya komited, bekerjasama bagi memastikan kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara kekal pada tahap optimum.

“Kejayaan DSA 2022 dan Natsec 2022 sepanjang tiga hari lepas juga menonjolkan perkongsian kukuh yang wujud antara Kementah, ATM dan industri pertahanan sebagaimana dapat disaksikan menerusi majlis menandatangani kontrak dan MoU hari ini,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.