Pensyarah Juga Pendidik/Murabbi, Bukan Sekadar Sampaikan Ilmu Bahkan Tanamkan Adab – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Seorang pensyarah juga adalah seorang pendidik atau disebut dengan istilah murabbi, ujar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

“Kenapa Islam menggunakan istilah murabbi? Ini kerana seorang murabbi bukan sahaja menyampaikan ilmu tetapi turut mencanai dan menanam adab ke dalam diri anak muridnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Justeru jelas Dr Asyraf, apabila seorang pendidik tidak beradab dan sewenangnya menghina ataupun mengeluarkan kata kesat kepada anak muridnya, maka hilanglah prinsip dan nilai murabbi sebagaimana yang digariskan Islam.

Beliau berkata demikian ekoran baru-baru ini, tular video dipercayai seorang pensyarah institusi pengajian tinggi memarahi pelajarnya kerana tidak mampu memiliki komputer.

Pensyarah tersebut turut menghina golongan B40 yang tidak mementingkan pelajaran.

Manakala dalam statusnya yang terdahulu, Dr Asyraf berkata ramai yang mengeluh dan mengadu kepadanya dan Pemuda UMNO mengenai Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang masih tidak mendapat kelulusan.

Ini katanya termasuk penerima Geran Khas Prihatin (GKP) yang disebut oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa akan dipertimbangkan untuk menerima BKM secara automatik malah akan dipermudahkan berbanding Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Khas COVID-19 (BKC).

Berhubung perkara demikian, Dr Asyraf telah meminta Exco Pemuda UMNO Amel Fadzmel yang bertanggungjawab mengenai isu ini untuk segera menghubungi pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang bertanggungjawab mengenai pengagihan BKM dan rayuan bagi mendapatkan gambaran sebenar. – UMNO ONLINE