‘Keluargaku Ahli UMNO’ Antara Medium Kesinambungan Suburkan Perjuangan Parti – Sharkar

KUALA LUMPUR, 30 Mac –  Dalam usaha meneruskan kesinambungan perjuangan parti, UMNO Pahang hari ini mengorak langkah ke depan apabila melancarkan pendaftaran ahli UMNO ‘Keluargaku Ahli UMNO’ peringkat negeri bagi memastikan perjuangan sekian lama terus subur.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Kuantan, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keahlian, Daftar Pemilih, Latihan Dan Perkaderan Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menerusi perkongsian di Facebooknya menekankan bahawa langkah tersebut merupakan antara medium yang boleh membantu parti untuk terus mengorak langkah ke depan.

Apatah lagi tambah beliau yang juga Ketua UMNO Temerloh, dalam keadaan hari ini pendaftaran pengundi automatik telah dilaksanakan yang pastinya akan memberikan cabaran kepada semua parti politik di negara ini untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.

“Hari ini Majlis Pelancaran Pendaftaran Ahli UMNO ‘Keluargaku Ahli UMNO’ oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Oleh kerana sekarang ini pendaftaran pengundi adalah secara automatik, kaedah meramaikan ahli UMNO adalah salah satu cara menarik agar menjadi ahli parti dan menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.”

Turut serta pada pada program berkenaan, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Ab Hamid Nazahar serta pimpinan UMNO negeri yang lain.

Sharkar seterusnya berharap dengan program berkenaan, bukan sahaja ahli UMNO makin bertambah malah jumlah pengundi juga akan terus meningkat sebagai usaha memastikan UMNO terus mendapat kepercayaan rakyat serta berjaya menerajui kerajaan negeri bagi meneruskan pelbagai perancangan serta pelaksanaan untuk rakyat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.