Isu Bahasa Melayu: Pemuda UMNO Kecewa Sikap Provokatif Syed Saddiq

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia meluahkan kekecewaan dengan tindakan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang seakan mempersoal hasrat kerajaan untuk memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.

Pengerusi Biro Antarabangsanya, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham berkata selaku ahli Parlimen yang diundi oleh rakyat secara demokratik, Syed Saddiq seharusnya berpandangan jauh dengan menggunakan laras hujah yang membina, bukannya yang berunsur provokatif.

“Saya amat kecewa dengan kenyataan yg dimuat naik di laman Facebook Syed Saddiq bertajuk A Vision for language in Malaysia sebagai seorang ahli Parlimen muda berbangsa Melayu.

“Kerisauan Syed Saddiq berkenaan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mencadangkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan bahasa ibunda negara telah dianggap sebagai langkah untuk meraih sokongan bagi pilihan raya akan datang hanyalah polemik politik semata-mata.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya mengunakan dan memartabatkan bahasa Melayu bukan sahaja di Malaysia malah di seantero dunia kerana ianya merupakan lambang jati diri warganegara dan sebagai lambang negara Malaysia di persada dunia,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah beliau lagi jika ditelusuri sejarah, Bahasa Melayu telah diterima sebagai lingua franca atau bahasa komunikasi utama termasuk di dalam konteks hubungan antarabangsa surat-surat rasmi dan dokumen perjanjian sejak daripada pra-kemerdekaan lagi.

“Pemilihan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Malaysia juga merupakan hasil persetujuan dan persepakatan oleh pemimpin pelbagai kaum di negara ini.

“Begitulah kukuhnya nilai permuafakatan di antara tokoh-tokoh terdahulu dan nilai inilah yang telah membina asas penyatuan dan kebersatuan yang dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia pada hari ini.

“Jelas, pemartabatan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa tidak seharusnya dipandang enteng atau dianggap sebagai tindakan yang menafikan kepentingan bahasa rasmi dunia, iaitu Bahasa Inggeris. Bahasa Melayu adalah Bahasa Malaysia, bukannya bahasa etnik yang terperosok jauh di penjuru global,” tegasnya

Jelas beliau, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan juga telah menjelaskan bahawa bahasa Melayu yang dikenali juga sebagai bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai Bahasa Kebangsaan.

“Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dimantapkan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Kepentingannya sebagai bahasa ilmu yang menjadi medium pengajaran dan pembelajaran telah membawa kepada pewartaan Akta Pendidikan 1961 (Pindaan 1996).

“Namun pada masa yang sama, masyarakat pelbagai kaum di Malaysia bebas menggunakan bahasa lain seperti Bahasa Mandarin oleh orang Cina dan Bahasa Tamil oleh orang India. Selain itu bahasa Inggeris masih mendominasi bahasa perdagangan dan perindustrian negara,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.