Industri Hiliran Lengkapkan Pembangunan Ladang Tenusu Berskala Besar Di Perlis

KANGAR, 30 Mac – Beberapa industri hiliran bakal dibangunkan di atas tanah seluas 8,465 hektar bagi melengkapkan pelaksanaan ladang tenusu berskala besar di Perlis, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata antara industri hiliran yang bakal dibangunkan itu membabitkan perusahaan ladang jagung, nanas MD2 dan penanaman ‘jerusalem artichoke’.

“Sebenarnya ini adalah satu perancangan yang kita mulakan sebelum COVID-19 lagi melibatkan Felda Global Ventures (FGV), FELCRA Berhad dan wakil daripada Baladna (syarikat pembekalan makanan dan produk tenusu dari Qatar, Kumpulan Baladna Food Industries).

“Pada masa ini, mereka telah melakukan beberapa kajian teknikal untuk lihat kesesuaian bagi pembangunan ladang tenusu itu,” katanya ketika ditemui di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Azlan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam berhubung pembangunan ladang tenusu berskala besar dengan nilai pelaburan RM4.2 bilion di Perlis dan Pahang.

Beliau berkata hasil usaha dan perancangan awal dilaksanakan kerajaan Perlis sebelum ini telah membawa kepada limpahan pelaburan buat negeri ini.

“Ladang tenusu ini bukan sahaja memberi manfaat kepada kerajaan negeri malah turut menyumbang kepada peluang-peluang pekerjaan baharu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azlan berkata kerajaan negeri perlu menunggu hasil kajian yang bakal dibuat terlebih dahulu sebelum memutuskan keperluan membina terminal feri yang baharu atau menambah baik kemudahan sedia ada di Kuala Perlis.
Azlan berkata kajian itu berkemungkinan bermula pada tahun hadapan selepas kerajaan negeri menerima peruntukan RM5 juta yang diumumkan oleh Ismail Sabri baru-baru ini.

“Kita akan tunggu apa hasil kajian ini terlebih dahulu bagi melihat dari segi kesesuaian lokasi, cara mengatasi masalah pendamparan lumpur dan lain-lain lagi. Kajian ini mestilah holistik sebab kita bukan hanya ingin fokus untuk membina terminal feri baharu tetapi juga dapat menyelesaikan masalah yang ada,” katanya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.