Zahid Seronok Tinjau Pembangunan Parlimen Bagan Datuk, Luang Masa Bertemu Masyarakat

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa seronok apabila dapat kembali kawasannya di Parlimen Bagan Datuk dan meninjau pelbagai pembangunan yang telah dan sedang dilaksanakan di sana.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) telah meluangkan masa beberapa hari lalu untuk pulang ke sana bagi bertemu dengan masyarakat setempat.

“Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Begitu jua perasaan ini setiap kali pulang ke Bagan Datuk.

“Meninjau pelbagai pembangunan yang telah dan sedang dilaksanakan di daerah kelahiran. Mengambil kesempatan menziarah pusara keluarga dan menyampaikan sumbangan kepada pelajar yang memerlukan.

“Tidak lupa juga bertemu dengan anak-anak tahfiz yang saya kasihi dan meninjau pembinaan Masjid Tuminah,” katanya menerusi hantaran dalam laman facebooknya, hari ini.

Jelas Zahid, masjid yang mampu menampung 5,000 jemaah pada satu-satu masa itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan antaranya ruang solat utama, klinik Al-Quran, dewan serbaguna dan dataran awam di dalam pekarangan masjid.

“Masjid Tuminah yang turut digelar masjid terapung Bagan Datuk juga menjadi mercu tanda baharu daerah itu.

“Seronok melihat pembinaannya hampir siap dan akan memberi lebih keselesaan beribadah buat umat Islam Bagan Datuk dan kepada sesiapa juga yang datang berkunjung kesini nanti.

“Penuhilah dan gunakanlah ia sehabis baik untuk tujuan-tujuan yang memanfaatkan apabila siap sepenuhnya kelak.”

Beliau juga mengajak untuk bersama mendoakan agar semoga dapat disiapkan secepat mungkin dan dapat memeriahkan serta mengimarahkannya nanti. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.