Rakyat Nilailah Tindakan Dap/PH Pada Melayu Dan Bumiputera – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Rakyat menjadi saksi pendekatan yang dilakukan Dap dalam Pakatan Harapan (PH) suatu ketika dahulu ketika mentadbir negara terutama berkenaan isu orang Melayu dan bumiputera, kata Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Katanya, situasi pada 22 bulan itu bukan sesuatu yang menghairankan kerana Dap sendiri pada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang dilakukan baru-baru ini menyaksikan bahawa pemimpin Melayu dalam parti itu seperti dipinggirkan.

“Melayu terpinggir dalam Dap? Itu Melayu dalam Dap. Kerana itu bila Dap menjadi kerajaan anda sendiri boleh menilai apa yang mereka lakukan kepada Melayu dan bumiputera,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook sambil berkongsi keratan akhbar daripada media lain.

Pada pemilihan parti ketika Kongres Dap yang diadakan baru-baru ini menyaksikan antara 10 calon Melayu yang bertanding, hanya Young Syefura Othman terpilih dalam CEC Dap bagi sesi 2022-2025.

Untuk rekod Dap yang menunjangi PH mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu telah menimbulkan pelbagai isu yang dilihat menjejaskan perpaduan dalam kalangan rakyat termasuk ancaman kepada orang Islam.

Ini termasuk tindakan PH yang mahu menandatangani Statut Rom dan meratifikasi ICERD yang ternyata bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dap juga memiliki rekod ingkar kepada raja-raja Melayu pada 2008 mengenai isu pelantikan Menteri Besar Perak malah pada 2014 parti itu juga mengundang murka Sultan Selangor apabila enggan mengemukakan lebih daripada dua nama untuk calon Menteri Besar Selangor susulan Langkah Kajang. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.