Demi Kesejahteraan Rakyat, Kerajaan Johor Sedia Tarik Lebih Ramai Pelabur Rancakkan Ekonomi

JOHOR BAHRU, 28 Mac – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan bahawa dalam fasa peralihan ke endemik, Kerajaan Negeri telah bersedia untuk menarik lebih ramai pelabur datang ke Johor.

Ini katanya adalah bagi merancakkan semula sektor ekonomi negeri demi kesejahteraan rakyat.

“Hari ini saya melawat Sedenak Tech Park (STeP) untuk meninjau progres pembangunan projek yang dijangka mampu menarik pelaburan, khususnya daripada syarikat berkaitan pengurusan data dan pengkomputeran dari dalam dan luar negara,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya, hari ini.

Maklumnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, 1,600 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi maklumat dan satu-satu sektor yang akan dijadikan katalis pembangunan Johor bakal ditawarkan melalui Projek STeP.

“STeP dibangunkan oleh TPM Technopark Sdn Bhd, sebuah syarikat milik 100 peratus Johor Corporation dan mendapat sokongan penuh daripada agensi-agensi Kerajaan Pusat dan Negeri seperti IRDA, MIDA, MDEC dan sebagainya demi menjayakan projek ini.”

Hadir bersama dalam program tersebut ialah Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni; Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Lee Ting Han; Pegawai Kewangan Negeri Johor, Datuk Salehuddin Hassan serta pegawai-pegawai kanan dari IRDA, MIDA, MDEC, JCorp dan Majlis Perbandaran Kulai. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.