Cuba Bersangka Baik… Tapi PH Ibarat Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi – Zahid

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) diibaratkan seperti harapkan pagar, pagar makan padi.

Katanya ini kerana mereka bertindak dengan memungkiri perjanjian menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah dimeterai sebelum ini.

“Umpama harapkan pagar, pagar makan padi. Harapkan sokongan PH, sokong membawa rebah… itulah berlaku di Dewan Rakyat tempoh hari. Semoga kita semua belajar daripada episod ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau malah turut membalas kritikan daripada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang bertindak menyalahkan Ahli Parlimen bukan PH kerana tidak berada di Dewan Rakyat.

“Saya mendapat maklum balas bahawa PH menyalahkan ahli parlimen bukan PH kerana tidak ada dalam Dewan Parlimen.

“Fahmi Fadzil siap masuk dalam Facebook memberitahu hal ini… untuk pengetahuan beliau saya dan rakan-rakan wakil rakyat lain cuba berbaik sangka bahawa PH tak akan bertindak sedemikian kerana terlalu percaya persefahaman bersama PH sudah diikat kemas. Tidak ada apa yang dirisaukan.

“Kenapa tak salahkan Presiden PAS, Presiden Bersatu, Azmin Ali, Johari Abdul, Tun Mahathir yang tak hadir. Sungguh pelik. Semua diletak salah di bahu UMNO,” soal beliau.

Terdahulu, pada Rabu, blok kerajaan gagal dalam mendapat kelulusan bagi usul Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Usul yang dibentang Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu tidak diluluskan setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 84 Ahli Parlimen bersetuju manakala 86 lagi tidak bersetuju.

Untuk rekod, pada 13 Sept tahun lalu, Kerajaan Persekutuan dan PH telah menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

MoU yang dimeterai di Bangunan Parlimen itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.