70 Peratus Barisan Exco Johor Orang Muda – MB
JOHOR BAHRU, 26 Mac – Sebanyak 70 peratus daripada barisan exco kerajaan negeri Johor yang diumum hari ini adalah dalam kalangan orang muda, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Ketika mengumumkan perkara itu, beliau berkata barisan exco kali ini juga dibarisi pemimpin pelbagai kaum dan mengambil kira keseimbangan jantina sekali gus mencerminkan wajah sebenar Bangsa Johor.
“Barisan exco ini merupakan gabungan antara pemimpin yang sarat dengan pengalaman bersama dengan pemimpin-pemimpin muda yang berilmu dan berketerampilan.
“Saya percaya dan yakin barisan exco ini berupaya menggalas tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh amanah, dedikasi dan integriti sepanjang tempoh lima tahun yang akan datang,” katanya dalam sidang media di Saujana, kediaman rasmi beliau, di sini hari ini.
Turut hadir, 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor yang dilantik sebagai exco Johor dan telah mengangkat sumpah memegang jawatan masing-masing hari ini di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Menyedari hakikat bahawa cabaran menanti amat besar terutama negeri masih bertarung dengan pandemik COVID-19, Onn Hafiz memberi jaminan bahawa beliau bersama barisan exconya akan berusaha sehabis baik untuk memacu Johor ke satu tahap yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat dibantu oleh pegawai dan kakitangan kerajaan.
“Pada masa yang sama, saya bersama barisan ini (exco) akan bekerja keras untuk memenuhi segala janji yang telah dibuat oleh Barisan Nasional (BN) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri Johor baru-baru ini.
“Lima Ikhtiar BN Johor iaitu kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat, orang muda Johor, pentadbiran berintegriti dan reformasi politik pasti akan dilaksanakan kelak serta menjadi keutamaan Johor,” kata ADUN Machap itu.
Onn Hafiz berkata teras kerajaan baharu itu akan menekankan konsep ‘Bangsa Johor’ dengan semua rakyat Johor tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang akan dipastikan terlibat dalam membangunkan negeri.
“Aspek kebajikan, ekonomi, pendidikan dan kesihatan rakyat akan menjadi keutamaan dan fokus kerajaan negeri ini. Justeru, saya bersama barisan exco yang baharu ini amat memerlukan sokongan dan doa setiap daripada anda, Bangsa Johor, dalam menggalas amanah dan tanggungjawab ini,” katanya yang memegang portfolio Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan dan Pembangunan Ekonomi negeri.
Barisan Exco Johor terdiri daripada ADUN Buloh Kasap Datuk Zahari Sarip yang memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar; ADUN Bukit Permai Datuk Mohd Jafni Md Shukor (Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan ADUN Tenggaroh K. Raven Kumar (Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya).
Turut dilantik, dua ADUN wanita iaitu ADUN Serom Khairin Nisa Ismail yang memegang portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat manakala ADUN Johor Lama Norlizah Noh pula portfolio Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi.
Selain itu, ADUN Larkin Mohd Hairi Mad Shah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia; ADUN Semerah Mohd Fared Mohd Khalid (Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam); ADUN Yong Peng Ling Tian Soon (Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan); ADUN Paloh Lee Ting Han (Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna) dan ADUN Bukit Pasir Mohamad Fazli Mohamad Salleh (Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur). – BERNAMA