Wanita UMNO Sokong WCB Wujudkan Bank Wanita

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Wanita UMNO menyokong sebulat suara sasaran Koperasi Wanita Malaysia Berhad (WCB) untuk menjadi sebuah bank wanita pertama di Malaysia menjelang tahun 2025.

Ujar Ketua Penerangannya Datuk Norshida Ibrahim, Wanita UMNO merasakan sasaran sebegini mampu membantu wanita fokus ke arah pembangunan dan hala tuju demi memastikan kemampanan, pengukuhan perniagaan dan produk keusahawanan golongan wanita.

 

“Justeru itu, ia mampu memperkasakan lagi wanita terutamanya dalam sektor ekonomi.

“Dengan adanya bank wanita ini, Wanita UMNO menjangkakan lebih banyak inisiatif dan skim yang dapat dibangunkan untuk wanita seperti pembiayaan mikro dan sederhana bagi membantu golongan pekerja-pekerja kecil wanita yang sememangnya kurang mendapat peluang skim-skim sedia ada daripada bank komersial tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Norshida, Wanita yakin dengan usaha menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Bank Rakyat dapat memberikan impak yang tinggi menjurus ke arah merealisasikan penubuhan Bank Wanita pertama di negara ini.

“Kerjasama ini dijangka dapat membantu kearah aspirasi WCB seperti mana kejayaan Bank Rakyat.

“Walaupun begitu, penubuhan bank ini bukan mudah dalam memerlukan fokus serta komitmen yang jitu dalam menwujudkan bank ini.

“Semoga Koperasi Wanita Malaysia Berhad berjaya dalam menubuhkan bank untuk wanita,” katanya lagi sambil mengucapkan selamat berjaya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.