Projek 123: Demi UMNO Yang Moden Dan Segar

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Perkara ketiga dalam Projek 123 adalah agenda transformasi dan pembaharuan yang UMNO akan lakukan, kata Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, perkara ini dirangka dan dilaksanakan dalam tiga peringkat utama.

“Pertama, dalam UMNO. UMNO mesti menjadi parti yang moden dan kekal relevan. UMNO mahu menjadi parti yang didukung dan digerakkan oleh bakat terbaik.

“Sebab itu UMNO kini dalam usaha membangunkan sekolah politiknya, iaitu Pusat Demokrasi Rakyat. Ia akan menjadi platform untuk parti ini memperkenalkan dimensi politik dan agenda demokrasi kepada anak muda.

“Saya menyeru bakat-bakat muda negara untuk memberi perhatian kepada perkara ini. Program ini akan UMNO perkenalkan dengan secepat mungkin. Marilah bersama-sama membina pengetahuan dan pemahaman politik bersama UMNO,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Pada masa yang sama kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, UMNO menanam tekad untuk menjadi parti yang mempunyai pendirian yang lebih jelas dan tegas dalam isu-isu yang kritikal.

“Sama ada di peringkat tempatan mahu pun antarabangsa. Hal ini akan dilakukan dengan memperkasa sumber ilmu dan pengetahuan parti ini.

“UMNO akan melabur dalam pembangunan ilmu pengetahuan dengan cara yang lebih serius dan berkesinambungan,” ujarnya lagi.

Peringkat kedua tambahnya, UMNO akan menyusun semula pelannya bersama rakan-rakan komponen.

“Persefahaman yang ada akan diperkasa. BN telah sejak sekian lama menjadi formula kejayaan Malaysia. Formula ini akan dipertahan dan diberikan sentuhan baharu. Demi Malaysia yang lebih inklusif dan stabil,” katanya.

Manakala peringkat ketiga ujarnya, merujuk kepada strategi UMNO dalam menyantuni masyarakat.

“Kita faham bahawa politik dengan retorik kosong bukan jawapan kepada Malaysia yang lebih baik. Parti politik harus mempunyai agenda dan pelan yang lebih jelas kepada masyarakat.

“Melalui peringkat ketiga dalam Projek 123 ini, UMNO akan meneroka keperluan sebenar masyarakat dengan cara yang dinamik dan lebih berkesan.

“Malah, UMNO akan tampil dengan intervensi serta solusi kepada isu-isu yang selama ini menghambat pembangunan negara,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi.

Ini jelasnya termasuklah melihat semula sistem dan pendidikan serta program-program kemahiran.

“UMNO juga akan memastikan dasar serta pembangunan kita akan menjadi lebih inklusif, inovatif serta menjawab keperluan Malaysia abad ke-21.

“Yang pasti, Projek 123 adalah cara UMNO untuk muncul sebagai parti moden yang lebih segar dan kekal relevan,” katanya. – UMNO ONLINE

Bahagian Pertama boleh diikuti di sini:
https://www.facebook.com/zahidhamidi.fanpage/posts/505054700991783

Bahagian Kedua boleh diikuti di sini:
https://www.facebook.com/zahidhamidi.fanpage/posts/505460750951178

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.