DUN Perak Bersidang Tiga Hari Bermula Isnin

IPOH, 25 Mac – Mesyuarat Pertama Tahun Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 terpaksa dipendekkan selama tiga hari walaupun terdapat pelbagai usul dan agenda untuk dibincangkan berikutan negara masih dalam tempoh pandemik COVID-19.

Yang Dipertua Dewan Negeri Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata persidangan itu diputuskan bermula Isnin hingga Rabu ini selepas mendapat nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Meskipun seluruh negara termasuk negeri Perak kian menghampiri pelaksanaan Fasa Peralihan Ke Endemik, perjalanan persidangan mesyuarat yang akan berlangsung masih tertakluk kepada penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan MKN Perak sebagai langkah kawalan pencegahan COVID-19.

“Setakat ini tiada usul tergempar…semasa tempoh endemik nanti mungkin ada kelonggaran dan dengan persetujuan kerajaan boleh dilaksanakan dalam tempoh lebih panjang dan Dewan boleh berbincang banyak agenda lain,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dijadual berkenan menyempurnakan istiadat pembukaan rasmi persidangan itu dan menzahirkan Titah DiRaja pada pukul 10 pagi tanpa acara perbarisan.

Mohammad Zahir berkata sesi soalan lisan akan berlangsung pada hari kedua dan ketiga selama sejam manakala Usul Menyembah Ucapan Tahniah Serta Menjunjung Kasih Atas Penzahiran Titah DiRaja Sultan Perak akan dibawa dan dibentangkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad pada hari kedua.

Beliau berkata usul berkenaan kemudian akan dibahaskan oleh seramai 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu sembilan daripada kerajaan dan penyokong kerajaan, 10 orang pembangkang serta seorang ADUN bebas.

“Sesi penggulungan oleh Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengikut portfolio masing-masing, dijadual berlangsung pada hari terakhir diikuti sesi penggulungan oleh Menteri Besar yang dijadual pada hari sama,” katanya.

Menurut Mohammad Zahir, antara SOP ditetapkan dan wajib dipatuhi ialah kesemua pihak yang berada di Dewan Negeri diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19 mengikut tarikh diberikan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Perak.

“Mana-mana pihak yang gagal hadir mengikut tarikh tersebut hendaklah menjalani ujian saringan COVID-19 secara sendiri dan semua pihak diwajibkan menjalani ujian pantas (RTK-Antigen) menggunakan air liur pada waktu pagi setiap hari persidangan dan perlu disahkan negatif sebelum dibenarkan masuk ke dalam Dewan Negeri,” katanya.

Pautan penstriman langsung persidangan akan dipaparkan melalui portal dan laman Facebook rasmi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan Youtube DUN Perak. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.