Kerajaan Akan Kaji Semula Mekanisme Subsidi Produk Petroleum

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Kerajaan akan mengkaji semula mekanisme pemberian subsidi produk petroleum, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Bagaimanapun, katanya, sebarang kaedah pemberian subsidi akan dikenal pasti terlebih dahulu dan diperhalusi untuk memastikan pemberian subsidi dapat dimanfaatkan secara terus kepada rakyat.

Mohd Shahar berkata Kementerian Kewangan telah diberi mandat untuk mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai agensi dan syarikat berkaitan untuk memperincikan kaedah pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol.

Shahar Abdullah

“Kita berjumpa dengan semua syarikat petroleum untuk kita berbincang dahulu dan lihat kaedah yang terbaik untuk subsidi bersasar ini dapat laksanakan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Wira Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu-Pejuang) dan Datuk Seri Salim Sharif (Jempol-BN) mengenai kaedah yang akan dilakukan bagi subsidi bersasar produk petroleum di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, bagi setiap US$1 setong kenaikan harga minyak mentah akan memberikan hasil sebanyak RM300 juta kepada kerajaan.

“Tetapi masalahnya setiap kenaikan US$1 setong akan memberi implikasi sebanyak RM600 juta, jadi dia tak breakeven (pulang modal) kerana kita melaksanakan harga siling. Contohnya, kita tetapkan harga siling sebanyak RM2.05 seliter untuk RON95 tetapi harga sebenar adalah RM3.70 seliter dan kerajaan tanggung sebanyak RM1.65,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shahar berkata kerajaan akan mempertimbangkan beberapa langkah cukai jangka sederhana termasuk pilihan untuk mengurangkan kebergantungan kepada cukai langsung dan meluaskan asas hasil dengan beralih kepada cukai berasaskan penggunaan seperti kajian skop cukai dan kadar cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada.

Beliau berkata kerajaan akan meneroka sumber baharu hasil cukai seperti cukai hasil keuntungan modal dan ekonomi digital namun tidak bercadang untuk menurunkan kadar cukai korporat bagi menarik lebih banyak pelaburan asing.

Menurutnya, kerajaan telah menurunkan kadar cukai korporat sebanyak satu nilai peratusan kepada 24 peratus daripada 25 peratus.

“Kerajaan juga sentiasa memberi perhatian kepada pengumuman perubahan layanan percukaian oleh negara-negara serantau termasuk penglibatan secara aktif di peringkat antarabangsa bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Alor Gajah-Bersatu) mengenai cadangan menawarkan kadar cukai yang lebih rendah bagi menarik lebih banyak pelaburan asing. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.