Projek 123 Fokus UMNO Menuju PRU15

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Projek 123 adalah fokus untuk memperkasa parti menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Projek 123 ini adalah rentetan daripada ucapan penggulungan beliau pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang menggariskan tiga keutamaan.

“Ini adalah agenda yang akan UMNO laksanakan dalam usahanya untuk kembali menjadi parti peneraju di Malaysia.

“Projek 123 ini mengandungi tiga aspek penting. Saya akan mengupas setiap satu aspeknya satu persatu bermula hari ini.

“Aspek satu iaitu ltizam dan matlamat UMNO / Barisan Nasional (BN) untuk kembali menjadi kerajaan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Pengerusi BN itu lagi, iltizam dan matlamat ini jelas namun ia bukan sesuatu yang ringkas dan mudah untuk direalisasikannya.

“…yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

“Untuk mencapainya, UMNO mesti menjadi parti yang didukung dan digerakkan oleh bakat-bakat terbaik. Kerjasama ahli dan pemimpin UMNO mestilah erat dan padu serta ampuh.

“Malah, UMNO mesti menjadi parti yang mempunyai kecerdasan baharu untuk ditawarkan kepada negara ini secara keseluruhannya, bukan kepada orang Melayu sahaja,” ujar beliau.

Ahmad Zahid menerusi hantaran yang sama turut menyeru ahli parti untuk bersama-sama bagi mencapai matlamat tersebut seiring perancangan yang telah dirangka bagi masa hadapan parti keramat ini.

“UMNO akan memusatkan sumber, kekuatan serta perhatiannya untuk memastikan iltizam dan matlamat menjadi Kerajaan semula ini akan berjaya.

“Saya menyeru sekalian masyarakat di luar sana untuk bersama-sama dalam misi besar UMNO ini. Marikah kita bersama-sama berusaha memberikan yang terbaik untuk negara.

“Esok saya akan mengupas aspek kedua pula, iaitu menguasai kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.