Bekalan Air Sabah Tidak Berhasil Sebanyak 59 Peratus

KOTA KINABALU, 23 Mac – Sebanyak 59 peratus daripada bekalan air di Sabah adalah air tidak berhasil (NRW), yang merugikan kerajaan dan rakyat negeri ini, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata NRW yang agak tinggi itu berlaku, kerana beberapa faktor termasuk sistem paip lama, sistem paip tidak dinaik taraf, kecurian bekalan air dan perjanjian bekalan air yang berat sebelah.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata kerajaan negeri masa ini, mewarisi perjanjian bekalan air yang tidak adil untuk kerajaan serta rakyat, malah terpaksa membayar pampasan sekiranya mahu membatalkan perjanjian itu.

“Saya tidak mahu namakan kerajaan mana sebelum ini buat perjanjian air itu, tetapi mana boleh rakyat kita hidup dalam keadaan begini, kita duduk sini jadi pemimpin kalau tidak mampu bantu rakyat, baik berhenti dan undur.

“Hanya 41 peratus bekalan air bagi hasil susah juga, apapun kita cuba cari penyelesaian terbaik supaya dapat beri bekalan air berkualiti untuk rakyat,” katanya ketika menggulung perbahasan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin bagi kementeriannya di sini, malam ini.

Bung Moktar berkata 22 loji rawatan air (LRA) di negeri ini tidak dapat berfungsi dengan baik, kerana sungai tidak dapat memberikan bekalan air secara konsisten serta tercemar, menyebabkan bekalan air untuk rakyat terjejas.

Menurutnya antara kawasan terjejas ialah Kota Kinabalu yang pada masa ini mengalami masalah bekalan air yang kritikal, iaitu kekurangan 34 juta liter sehari berbanding dengan permintaan semasa.

Justeru, beliau berkata bagi mengatasi masalah itu beberapa langkah telah diambil, seperti pembinaan Urgent Water Supply Scheme (UWSS) di LRA Telibong II, Tamparuli berkapasiti 10 juta liter sehari yang dijadual siap Ogos tahun ini.

Selain itu, katanya menambah kapasiti LRA tersebut daripada 80 juta liter sehari ke 160 juta liter sehari, dijangka siap akhir tahun ini, dan program pembaikan peralatan Sistem Pengurusan NRW yang akan dilaksanakan selama tiga tahun, bagi memantau lokasi kehilangan air yang tinggi di lapangan.

Bung Moktar berkata bagi mengatasi masalah bekalan air dan dua lagi masalah kemudahan asas iaitu elektrik dan jalan raya, rakyat serta semua pihak di negeri ini perlu berfikiran terbuka dengan membuka ruang serta peluang kepada pihak luar melabur dalam penswastaan kemudahan, berkenaan.

“Bekalan air sahaja perlu RM5 billion hingga RM7 billion untuk penyelesaian jangka pendek, dan kerajaan negeri tidak mampu, jadi kita kena berunding cara lain iaitu cari pelabur luar untuk perniagaan air di Sabah dan tidak terlalu dengan semangat ‘Sabahan’ sahaja.

“Semangat Sabahan konon-kononnya tetapi Sabah masih mundur, jika kita cintakan Sabah kita tidak mahu bekalan air, elektrik, jalan yang teruk dan membiarkan Sabah mundur,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.