Pindaan Akta Hak Milik Strata 1985 Digubal Tangani Isu Bangunan Usang

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Pindaan terhadap Akta Hak Milik Strata 1985 (Akta 318) sedang digubal untuk menangani isu bangunan usang, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pindaan itu melibatkan persetujuan pemilik petak serta tatacara penamatan skim strata bagi membolehkan pembinaan semula bangunan.

“Walaupun satu bentuk perundangan belum lagi wujud, tetapi banyak program pembaharuan semula bandar dilaksanakan sejak tahun 2000 lagi. Ia melibatkan pelaksanaan oleh pihak swasta bagi kawasan pembaharuan semula bandar yang menghasilkan pulangan ekonomi yang sewajarnya.

“Bagi kawasan atau bangunan usang yang tiada membawa pulangan ekonomik kepada pihak swasta, maka kerajaan boleh mempertimbangkan satu bentuk atau kaedah pembaharuan semula bandar bagi mengelak kawasan atau bangunan itu terus merosot serta menimbulkan isu kemerosotan urban,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang ingin tahu strategi dalam memperkenalkan program dan perundangan berhubung pembangunan semula bandar untuk menangani isu rumah pangsa usang di bandar yang perlu dibangunkan semula.

Reezal berkata satu penilaian kesan kawal selia juga akan diwujudkan sebagai permulaan ke arah penggubalan undang-undang baharu yang bersifat rentas, konklusif dan komprehensif bagi memastikan hak kepada harta dapat dipelihara di samping pembangunan pembaharuan bandar dapat dilakukan.

“Bila kita nak lakukan penggubalan akta yang membabitkan soal pembangunan dan pembaharuan bandar semula ini ia akan berkait dengan hampir tujuh atau lapan undang-undang atau akta.

“Antaranya Kanun Tanah Negara, Akta Hak Milik Strata, Akta Pengurusan Strata, Akta Pengambilan Tanah dan Akta Perancangan Bandar… ia merangkumi fungsi kementerian yang agak tuntas,” katanya menjawab soalan tambahan Wong mengenai keperluan undang-undang khusus dalam menangani isu itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.