Perumahan Rakyat Dibatal PH Disuarakan Dalam Parlimen, Jangan Biar Rakyat Putih Mata

PUTRAJAYA – Hari ini suara rakyat sekali lagi diangkat sebagai isu yang diutarakan dalam Parlimen apabila Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya mengemukakan isu perumahan mesra rakyat yang telah dibatalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Jelasnya, sebuah Projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) yang telah dilancarkan di Presint 7 dan Presint 9, Putrajaya pada sekitar bulan March 2018 telah dibatalkan apabila PH mengambil alih tampuk pentadbiran negara selepas kemenangan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018.

“Pembatalan projek ini telah menyebabkan hampir 2,000 pemohon, di mana sebahagian besarnya adalah penjawat awam telah ‘berputih mata’. Malahan, para pemohon tidak diberikan sebarang penjelasan yang lengkap daripada pihak Kementerian Wilayah Persekutuan mahupun daripada pihak pemaju,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan di Dewan Negara, hari ini.

Katanya, Projek yang diberikan nama RUMAWIP@Sentral ini merupakan projek perumahan mesra rakyat pertama di Putrajaya untuk dimanfaatkan sebahagian besar penjawat awam, dengan isi rumah bawah RM3,000 sebulan dan belum memiliki rumah pertama.

“Sebenarnya, Projek RUMAWIP yang julung kalinya di Putrajaya ini telah dibatalkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan Ketika waktu pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan, atas alasan untuk ‘mengkaji semula cadangan projek dan segala kesulitan amatlah dikesali’. Penjelasan umum seperti ini tentunya mengundang rasa kecewa dari sebahagian besar pemohon yang berpendapatan rendah ini.

“Selain itu, projek ini turut memberi keutamaan kepada komuniti masyarakat India dan orang kelainan upaya (OKU) yang ada di Putrajaya.

“Projek ini sepatutnya dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024. Walau bagaimanapun, projek ini telah dibatalkan semasa pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Putrajaya selepas Pilihanraya Umum Ke-14 yang lalu.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa masalah ini menjadi rumit apabila Kementerian Wilayah Persekutuan, ketika itu, telah cuba mengalihkan isu ini kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Sedangkan tanggungjawab mengenai sebarang keputusan mengenai Projek RUMAWIP adalah di bawah tanggungjawab sepenuhnya Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Sekiranya alasan yang digunakan oleh Pakatan Harapan ketika itu bahawa takut projek ini akan terbengkalai kerana harga jualannya terlalu murah, saya meminta pihak kementerian menyenaraikan projek-projek RUMAWIP di bawah pentadbiran Barisan Nasional dari tahun 2013 hingga 2018 sejak ia diperkenalkan yang terbengkalai.

“Maka, saya memohon kepada Kementerian bertanggungjawab untuk kembali duduk berunding bersama-sama pihak pemaju bagi mencari titik persetujuan bagi membolehkan projek RUMAWIP@Sentral ini diteruskan.”

Dalam hal ini beliau yakin dan percaya, isu terbabit boleh diselesaikan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan di bawah menteri baharu.

Terdahulu, Hisamudin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana telah berani membuat satu keputusan yang besar; mengumumkan Malaysia beralih ke fasa endemik bermula 1 April 2022.

“Keputusan ini hadir dengan beberapa perubahan prosedur operasi standard (SOP) yang tepat pada masanya. Sudah pasti perkara ini dialu-alukan oleh semua rakyat Malaysia,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.